Dunia kini sedang bersiap sedia menghadapi satu dasar agresif berikutan kemenangan Donald Trump yang mengheret kepada ketidaktentuan ekonomi global melebihi daripada semasa penggal pertamanya.
Manifesto terkininya diramalkan akan lebih ‘keras’ berbanding sebelum ini dengan berkata mandatnya mahu Amerika Syarikat (AS) lebih berkuasa di peringkat global.
Sementara itu, rantau Asia Tenggara yang terkenal dengan rantaian bekalan global, pemain utama dalam perdagangan teknologi antarabangsa dan destinasi kedua terbesar pelaburan asing dunia menjadi tumpuan negara dagangan gergasi dunia seperti Amerika dan China.
Kelebihan itu mendedahkan rantau tersebut menghadapi risiko besar dengan jangkaan perubahan dasar dalam penggal kedua kepimpinan Trump.
Semasa penggal pertamanya, dasar-dasarnya kurang disenangi pada peringkat nasional kerana beliau lantang dalam pendekatan ‘America First’ yang impulsif dan retorik.
Namun, apa kesannya ke atas masa depan pasaran di rantau Asean?
Ada kemungkinan besar aliran ekonomi Asia Tenggara tidak akan terlalu terjejas kerana tidak akan menjadi keutamaan dalam agenda dasar luar Donald Trump.
Semasa kali pertama beliau mentadbir, kehadiran Trump di sidang kemuncak ASEAN dan APEC terutamanya pertemuan berprofil tinggi dilihat lebih didorong oleh situasi khusus berbanding minat sebenar terhadap rantau ini.
Ia berbeza dengan pendekatan Obama dan Joe Biden yang lebih fokus strategik terhadap peranan Asia Tenggara dalam persaingan AS-China.
Trump 2.0 dijangka lebih tertumpu kepada usaha memenuhi janji kempennya untuk segera menamatkan perang Rusia-Ukraine serta konflik di Timur Tengah.
Memandangkan Trump cenderung kurang berminat terhadap rantau ini dan skeptikal terhadap multilateralisme, Asia Tenggara mungkin sekali lagi mengalami empat tahun tanpa kehadiran Trump di sidang kemuncak Asean serta penglibatan yang minimum dengan pemimpin-pemimpin di Asia Tenggara.
Sebelum ini, Trump hanya menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada tahun 2017 serta gagal menghantar pegawai peringkat kabinet ke sidang kemuncak pada tahun 2019 dan 2020.