Apa Yang Anda Perlu Tahu Pada Pembukaan Dagangan Awal Minggu?

594

Pembukaan dagangan awal September memperlihatkan US dolar terus menerima tekanan, dengan didagangkan lemah ke tahap terendah hampir 2 tahun berbanding kebanyakan matawang utama kecuali safe-haven yen.

Matawang yen Jepun yang melonjak pada dagangan penghujung minggu, kembali mencatatkan penurunan berikutan terdapat jangkaan bahawa pemimpin Jepun yang bakal menggantikan tempat Shinzo Abe sebagai perdana menteri akan meneruskan program ekonomi ‘Abenomics’.

Sementara itu, matawang utama pula terus berusaha untuk menembusi paras ketinggian tahunan terbaru berbanding pesaing utama US dolar, namun gagal melepasinya.

Bagaimanapun, dolar Aussie didagangkan menghampiri paras ketinggian 2 tahun menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) pada tengah hari ini yang akan memberi penjelasan lanjut mengenai pandangan bank pusat terhadap ekonomi semasa.

Data ekonomi China yang optimis sedikit sebanyak telah menyokong kenaikan bagi matawang Asia, selain turut dipacu oleh laporan bahawa negara itu akan mula menggunakan salah satu vaksin Covid-19 terhadap golongan berisiko.

Namun begitu, krisis pandemik terus memberi ancaman lebih besar di seluruh dunia, dengan lebih daripada 25 juta kes Covid-19 telah direkodkan setakat ini dan jumlah kematian pula menghampiri angka 1 juta.

Dalam pada itu bagi matawang Eropah pula, dagangan pound sterling turut meraih keuntungan dengan didagangkan di tahap paling kukuh dalam tempoh hampir satu tahun berbanding dolar greenback.

Selain itu, matawang euro turut memanfaatkan kelemahan US dolar yang didorong oleh kejatuhan hasil perbendaharaan AS, dengan didagangkan menguat menghampiri paras ketinggian sejak Mei 2018.

Antara matawang yang mempamerkan prestasi terbaik pada pembukaan dagangan awal minggu adalah dolar Kanada yang diniagakan meningkat ke paras ketinggian 7 bulan berbanding USD.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat