Pelabur menjangkakan pertumbuhan pekerjaan Amerika Syarikat yang lebih kukuh pada bulan September ketika gelombang jangkitan Covid-19 semakin berkurang telah memacu permintaan perkhidmatan.
Laporan pekerjaan yang bakal diterbitkan Jabatan Tenaga Kerja pada malam ini diunjurkan meningkat sebanyak 500,000 pekerja pada bulan lalu dan kadar pengangguran pula turun kepada 5.1% daripada 5.2% yang dicatatkan sebelumnya.
Pada bulan September, pelabur telah dikecewakan dengan penambahan pekerjaan yang tidak dijangka, di mana hanya sebanyak 235,000 pekerjaan dicatatkan pada Ogos setelah meningkat 943,000 pada Julai.
Dengan situasi Covid-19 yang semakin mereda, pelabur kini mengharapkan pertumbuhan NFP kembali kukuh dan meningkatkan keyakinan untuk Federal Reserve (Fed) mula melakukan pengurangan rangsangan tahun ini.
Menyingkap kembali beberapa siri data yang diterbitkan bulan ini, komponen pekerjaan dalam perkhidmatan AS sedikit turun, tetapi sektor pembuatan AS dan ADP swasta pula menunjukkan bacaan yang lebih kukuh daripada dijangkakan.
Sementara indeks sentimen pengguna AS tinjauan University of Michigan juga melonjak pada bulan lalu, dan purata 4 minggu tuntutan pengangguran lebih rendah pada September berbanding Ogos.
Merujuk kepada data-data yang secara keseluruhannya memberangsangkan ini, ia menguatkan lagi harapan pasaran untuk melihat laporan pekerjaan NFP kembali menguat pada bulan September.