Apakah Itu Saham Cip Biru?

733

Sebagai seorang pelabur, anda tentunya pernah mendengar mengenai saham cip biru atau ‘blue chip’. Bagaimanapun, apakah saham cip biru di Malaysia?

Pada artikel kali ini, team INTRADAY akan membincangkan mengenai kelebihan dan kekurangan saham cip biru ini serta senarai syarikat-syarikat di negara ini yang diklasifikan sebagai saham cip biru .

Saham cip biru adalah saham syarikat besar dan dikenali ramai serta mempunyai prestasi kewangan kukuh untuk jangka masa panjang.

Saham ini mempunyai kemampuan untuk mengatasi situasi pasaran sukar dan memberi pulangan tinggi sewaktu keadaan pasaran yang baik.

Secara tuntasnya, saham cip biru merupakan saham paling kukuh dan terbesar di Bursa Malaysia atau di pasaran negara lain.

Terdapat banyak saham yang anda boleh laburkan dalam pasaran. Jika anda berminat untuk melabur dalam saham berprestasi baik, anda perlu mengenalpasti apakah yang membuatkan saham syarikat itu adalah cip biru.

Beberapa spesifikasi boleh dipertimbangkan untuk mengenalpasti syarikat cip biru ini. Itu termasuklah syarikat yang mapan dengan pendapatan tahunan yang konsisten dalam jangka masa yang panjang, nisbah hutang kepada ekuiti yang stabil, pulangan ekuiti (RoE), permodalan pasaran dan nisbah harga kepada pendapatan (PE).

Terdapat beberapa syarikat yang diklasifikasikan sebagai cip biru. Antaranya Maybank, Hartalega Holdings Berhad, TopGlove Corporation Berhad, Public Bank Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Petronas Chemical Group Berhad, IHH Healthcare Berhad, Maxis, Sime Darby Plantation Berhad dan MISC Bhd.

Saham cip biru menawarkan pendapatan yang stabil dalam jangka masa yang konsisten apabila mendapat kepercayaan pelabur dan boleh dipercayai. Oleh itu, pendapatan stabil saham ini sesuai untuk pelabur yang mencari pelaburan yang memberikan pulangan yang konsisten.

Saham cip biru berkemungkinan tidak menunjukkan kenaikan harga saham yang berterusan tetapi mempunyai kelebihan pembayaran dividen tanpa gangguan dari masa ke masa. Dalam jangka masa yang panjang, pelabur dapat memperoleh keuntungan daripada kenaikan nilai aset dan juga pembayaran dividen.

Saham terbabit turut mempunyai pangkalan data kewangan yang kukuh dengan kunci kira-kira dan aliran tunai yang kuat. Melalui pangkalan data asas yang kukuh ini akan memberikan risiko yang minimum kepada pelabur, sekali gus membantu mengurangkan risiko pelaburan anda.

Pulangan bagi saham cip biru adalah bersamaan dengan risikonya. Sebagai contoh, risiko rendah, pulangan juga rendah. Saham cip biru memberikan keselamatan pelaburan yang tinggi daripada operasi perniagaan mereka yang stabil dengan pelaburan berisiko rendah. Oleh sebab itu, saham cip biru tidak sesuai untuk pelabur agresif yang mahukan pulangan tinggi.

Saham cip biru berkemungkinan tidak akan mencapai keuntungan yang memberangsangkan dari masa ke masa tetapi pertumbuhan tersebut adalah bersifat kecil dan stabil. Saham cip biru mungkin merupakan pelaburan yang ideal bagi pelabur yang mahu mengumpul nilai pelaburan dalam jangka masa panjang kerana pertumbuhannya yang perlahan.

Saham cip biru adalah lebih tertumpu kepada memberikan ganjaran kepada pemegang saham berbanding melabur semula dalam perniagaan. Oleh itu, pelabur yang tidak memerlukan dividen ini untuk menjana lebihan pendapatan boleh beralih kepada saham yang lebih agresif untuk menjana keuntungan lebih besar.

Sebagai pelabur, sebelum anda memutuskan untuk melabur dalam saham cip biru di negara ini, anda terlebih dahulu perlu tahu objektif dan matlamat pelaburan anda. Saham cip biru diketahui akan memberikan kelebihan untuk jangka masa panjang kerana memberikan nilai yang tinggi kepada para pelabur yang mencari pulangan konsisten, pertumbuhan yang stabil dan mudah dijangka.

Jika anda mahukan pulangan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat, maka saham cip biru bukanlah untuk anda. Walau bagaimanapun, setiap pelaburan mempunyai risikonya. Anda perlu faham apa itu saham cip biru dan adakah sesuai dengan strategi pelaburan anda.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat