Apakah Yang Diharapkan Pasaran Dari Ucapan Powell?

629

Bagi trader forex, ucapan Pengerusi Federal Reserve AS (Fed), Jerome Powell di simposium Jackson Hole yang diadakan secara atas talian pada hari ini akan menjadi peristiwa paling penting minggu ini.

Walaupun dengan kenaikan yang diraih hasil perbendaharaan AS, pelabur tetap menjual matawang US dolar menjelang persidangan ekonomi yang melibatkan ahli-ahli ekonomi, bank-bank pusat, menteri kewangan serta peserta pasaran kewangan dari seluruh dunia.

Pasaran kini menjangkakan Powell akan menetapkan strategi baru bank pusat untuk memenuhi sasaran kestabilan harga dan pekerjaan penuh, pada persidangan ekonomi yang akan bermula hari ini.

Dengan puluhan juta pengangguran direkodkan disebabkan krisis coronavirus, Fed mungkin akan mengubah sepenuhnya cara ia menguruskan dasar monetari untuk disesuaikan dengan kadar faedah dan inflasi yang rendah.

Federal Reserve, yang sebelum ini menetapkan sasaran inflasi pada 2%, berkemungkinan bakal mengubah sasaran purata inflasi untuk menyesuaikan kadar inflasi yang stabil dalam suasana ekonomi yang berubah selepas dunia dilanda pandemik.

Susulan daripada itu, Powell juga akan membincangkan hasil tinjauan kerangka Fed, sebuah inisiatif yang dimulakan hampir dua tahun lalu melalui pendengaran dan penyelidikan awam untuk mengkaji bagaimana dasar monetari harus disesuaikan dengan persekitaran kadar faedah yang rendah.

Dari segi pandangan bank pusat terhadap ekonomi AS pula, Powell mungkin lebih berhati-hati dalam menyampaikan pendapatnya lebih-lebih lagi setelah diperlihatkan dengan data-data yang menunjukkan kadar pemulihan semakin berkurang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat