“Pantas betul Ark Invest bertindak, yang lain bila lagi takkan nak ketinggalan di belakang kot.”
Berganding bahu bersama 21Shares, Ark Invest adalah firma pertama yang memfailkan spot Ethereum (ETH) ETF di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengembangkan portfolio mata wang kripto.
Sekiranya diluluskan, spot ETH ETF akan berdagang di Cboe BZX Exchange dan tidak seperti ETF niaga hadapan ETH lain yang difailkan pada Julai dan Ogos 2023, Ark Invest serta 21Shares rancang untuk memegang aset digital itu secara langsung.
Selain langkah baharu itu, Ark Invest yang diasaskan oleh Cathie Wood telah memeterai perjanjian bersama ETP Switzerland 21Shares untuk melancarkan spot BTC ETF pada tahun 2021 dan memohon semula pada April tahun ini selepas ditolak oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
Selepas berkongsi rancangan untuk dua dana melibatkan kontrak niaga hadapan ETH, Ark Invest dan 21Shares telah disenaraikan sebagai penasihat kecil pada tiga cadangan dana kripto yang melibatkan kontrak niaga hadapan BTC.
Menerusi pemerhatian, perkembangan tersebut telah berlaku apabila SEC pada masa ini nampaknya semakin lemah setelah kehilangan kes mahkamah kepada Grayscale Investments pada bulan lepas.
Masanya kelihatan sangat tepat susulan bidang kuasa lain seperti Kanada telah meluluskan produk kripto yang serupa dan trend itu menunjukkan bahawa badan kawal selia di luar Amerika Syarikat (AS) sudah mula berminat terhadap aset digital.
Suka dimaklumkan juga pengawal selia di Kanada telah semakin mesra kripto apabila ia menjadi negara pertama yang meluluskan spot ETH ETF pada April 2021 selepas beberapa bulan membenarkan spot Bitcoin (BTC) ETF.