AS Beri Ancaman Kepada Eropah Jika Enggan Kenakan Tuduhan Terhadap Iran

564

Tindakan UK, Perancis dan Jerman untuk mencetuskan mekanisme pertikaian dalam perjanjian nuklear 2015 terhadap Iran pada Selasa, didakwa telah didorong oleh ancaman daripada Amerika Syarikat, menurut laporan Washington Post.

Pentadbiran Presiden A.S Donald Trump dilapor telah memberi amaran untuk mengenakan 25% tarif ke atas import kereta Eropah jika negara-negara itu enggan mencetuskan pertikaian yang menuduh Iran melanggar perjanjian nuklear 2015 atau juga dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Tiga kuasa besar Eropah itu telah menuduh Iran mencabuli terma-terma perjanjian untuk mengehadkan pelaksanaan program nuklear, satu tuduhan yang boleh membawa kepada pelaksanaan semula sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Rusia memberi tindak balas susulan tindakan UK, Jerman dan Perancis yang mencetuskan mekanisme pertikaian dengan menyatakan ia adalah bertentangan dengan objektif perjanjian tersebut dan tidak boleh diterima.

Pada minggu lalu, Iran telah mengumumkan untuk tidak mematuhi sekatan pengayaan uranium nuklear di bawah perjanjian nuklear 2015 yang turut ditandatangani bersama enam negara lain, selepas ketegangannya dengan A.S meningkat.

Pada tahun 2015, Iran, A.S, China, Perancis, Jerman, Rusia, UK dan Kesatuan Eropah (EU) telah menandatangani satu perjanjian untuk mengatur dan mengawal aktiviti nuklear Tehran.

Namun begitu, setelah Trump mengambil alih jawatan presiden, Washington telah menarik diri daripada perjanjian tersebut dan mula mengenakan sekatan ke atas Iran.

Anda mungkin juga berminat