Dolar AS mengukuh pada hari Rabu, meneruskan lonjakan pasca pilihan raya selepas penurunan selama tiga hari, sementara yen Jepun merosot apabila permintaan untuk aset selamat semakin berkurang.
Pengukuhan US dolar dan mata wang safe haven yang lain seperti yen sehari sebelumnya, akibat kebimbangan geopolitik, terbukti bersifat sementara. Ini berlaku selepas Menteri Luar Rusia menyatakan negaranya akan “melakukan segala yang mungkin” untuk mengelakkan perang nuklear, hanya beberapa jam selepas Moscow mengumumkan ia akan menurunkan ambang serangan nuklear.
“Ketakutan terhadap situasi Rusia-Ukraine semakin reda, tetapi pasaran akan sensitif terhadap sebarang berita baharu,” kata Jane Foley, Ketua Strategi FX di Rabobank, London.
Yen Jepun susut ke paras 155.815 berbanding AS dolar, menghapuskan keuntungan yang dicapai sehari sebelumnya. Penurunan terkini yen ke paras terendah dalam tiga bulan meningkatkan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan dasar hawkish Bank of Japan (BOJ), terutama apabila ia menghampiri paras yang mencetuskan campur tangan pada bulan Julai.
Indeks AS dolar yang mengukur prestasi mata wang itu berbanding enam mata wang utama lain, mengukuh 0.5% kepada 106.59, pulih daripada penurunan selama tiga hari.
Indeks AS dolar ini mencapai paras tertinggi dalam setahun pada 107.07 minggu lalu, disokong oleh jangkaan perbelanjaan fiskal besar, tarif lebih tinggi, dan kawalan imigresen ketat di bawah pentadbiran baharu AS. Langkah ini, menurut para pakar ekonomi, boleh mencetuskan inflasi dan memperlahankan pengurangan kadar oleh Rizab Persekutuan.
Pelabur masih menunggu Trump menamakan Setiausaha Perbendaharaan, jawatan kabinet berprofil tinggi yang mengawasi dasar kewangan dan ekonomi negara. Beberapa pelantikan Trump lain menimbulkan kontroversi kerana pengalaman yang dianggap kurang mencukupi.
Sterling mengukuh seketika tetapi kemudian susut apabila data menunjukkan lonjakan inflasi pengguna UK pada Oktober. Ini mengukuhkan pandangan bahawa Bank of England akan mengurangkan kadar secara beransur-ansur.
Euro susut 0.4% kepada $1.0559 tetapi masih jauh daripada paras terendah sesi sebelumnya $1.0524.