AS Rampas 3.97 Juta Sarung Tangan Top Glove!

2,450

Jabatan Kastam dan Perlindungan Amerika Syarikat (CBP) di Cleveland merampas sebanyak 3.97 juta sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh anak syarikat Top Glove Corp Bhd, bernilai AS$518,000 berikutan timbul dakwaan wujudnya penggunaan buruh paksa.

Menerusi satu kenyataan, agensi berkenaan memaklumkan rampasan berkenaan dibuat selepas pemeriksaan yang dilakukan oleh para pegawai CBP menunjukkan sarung tangan pakai buang itu dihasilkan di Malaysia oleh anak syarikat Top Glove.

“Rampasan ini memberi mesej jelas bahawa CBP tidak akan bertolak ansur terhadap barangan import yang dihasilkan oleh buruh paksa, yang merupakan satu bentuk perhambaan moden yang menjejaskan golongan pekerja rentan serta mengancam ekonomi kami.

“CBP sentiasa memudahkan pengimportan PPE sah yang diperlukan untuk pandemik Covid-19 selain memastikan PPE itu dibenarkan dan selamat untuk digunakan,” kata Pengarah Pelabuhan Kawasan Cleveland, Diann Rodriguez.

Pada 29 Mac lalu, CBP mengarahkan para pegawainya di semua pelabuhan AS supaya merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove.

CBP mendakwa wujudnya penggunaan buruh paksa berdasarkan beberapa bukti sewaktu proses pengeluaran sarung tangan Top Glove termasuklah tunggakan hutang, kerja lebih masa yang melampau, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang kurang selesa serta penyimpanan dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, pengeluar sarung tangan itu pada bulan lalu memaklumkan telah menyelesaikan semua 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan menyatakan jaminannya kepada pemegang saham atas usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan pekerjanya.

“Kami terus bekerjasama erat dengan CBP untuk penyelesaian cepat dan penarikan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) serta tetap berharap WRO akan ditarik balik,” kata Top Glove.

Pada pukul 12.24 tengah hari, saham Top Glove didagangkan lapan sen lebih rendah pada RM5.37.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat