Asal Usul COCA-COLA – Mulanya Dicipta Untuk Rawat Penyakit?

1,701

Coca-Cola merupakan sebuah jenama pengeluar minuman yang paling popular di seluruh dunia.

Selain minuman berkarbonat, Coca-Cola juga merupakan syarikat pengeluar minuman yang menjual berbagai jenis minuman lain termasuk minuman citrus seperti Fanta, Dasani dan Minute Mid.

Coca-Cola Tercipta di Farmasi

Asal usul Coca-Cola bermula pada tahun 1886 apabila seorang ahli farmasi yang berasal dari Atlanta, Georgia iaitu Dr. John Stith Pemberton telah mencipta sejenis sirap berperisa untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Beliau lalu mencampurkan sirap berperisa tersebut bersama air berkarbonat supaya minuman tersebut menjadi minuman ringan.

Minuman itu telah dijual melalui soda fountain di sebuah farmasi yang bernama Jacob’s Pharmacy.

Frank Robinson yang merupakan akauntan kepada Pemberton adalah individu yang bertanggungjawab dalam mencipta nama dan logo Coca-Cola sehingga menjadi logo ikonik yang diingati di seluruh dunia.

Robinson mengambil inspirasi daripada nama ramuan yang digunakan oleh Pemberton dalam menghasilkan Coca-Cola iaitu gabungan ekstrak daun coca dan kafein dari kekacang kola.

Robinson mencadangkan penggunaan huruf ‘c’ berbanding huruf ‘k’ untuk perkataan ‘kola’ kerana gabungan dua ‘c’ pada nama Coca-Cola tersebut lebih sesuai dan menarik untuk tujuan pengiklanan dan pemasaran.

Coca-Cola Bertukar Milik & Dipasarkan

Pada tahun 1887, Pemberton menjual sebahagian syarikatnya kepada beberapa pihak yang majoritinya dipegang oleh Asa Candler iaitu seorang ahli farmasi dan ahli perniagaan dengan harga $2,300.

Candler akhirnya memiliki kesemua hak Coca-Cola pada tahun 1890 dan sejak itu beliau mula menjalankan aktiviti pemasaran dan pengiklanan secara agresif untuk memasarkan Coca-Cola di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Antara usaha yang dijalankan oleh Candler termasuklah mengagihkan kupon kepada orang ramai untuk mencuba Coca-Cola secara percuma serta mengiklankannya di akhbar-akhbar di AS.

Candler berjaya memasarkan Coca-Cola ke luar daerah Atlanta sehingga minuman itu menjadi salah satu minuman yang paling terkenal di AS.

Coca-Cola Mula Dibotolkan

Selepas melihat permintaan yang tinggi terhadap Coca-Cola, Joseph Biedenharn sebagai operator mesin soda fountain telah mereka cipta sebuah mesin pembuat botol dan membotolkan minuman tersebut supaya lebih memudahkan air Coca-Cola diminum dan dibawa ke mana-mana sahaja.

Hal ini sekaligus menjadikan Biedenharn sebagai individu pertama yang membotolkan Coca-Cola iaitu pada tahun 1894.

Pada tahun 1899, tiga perusahaan di Chattanooga, Tennessee memegang hak eksklusif untuk menghasilkan, membotolkan dan mengedarkan Coca-Cola secara besar-besaran.

Asa Candler menjual hak tersebut dengan nilai hanya $1 kepada tiga perusahaan berkenaan.

Benjamin Thomas, Joseph Whitehead dan John Lupton mempelopor sistem pembotolan tersebut sehingga sistem itu digunakan di seluruh dunia sehingga kini.

Penggunaan botol mendapat persaingan hebat apabila banyak syarikat pengeluar minuman lain mula meniru botol Coca-Cola.

Oleh itu, Coca-Cola mendapat idea untuk menghasilkan botol sendiri dengan ukiran logo Coca-Cola dan bentuk yang unik pada tahun 1916.

Terpalit Isu Bahan Terlarang Dalam Kandungan

Sekitar awal tahun 1900an, Coca-Cola pernah dikaitkan dengan penggunaan ekstrak kokain dan jumlah kafein yang berlebihan dalam pembuatan minumannya, tetapi isu ini telah dinafikan oleh pihak Coca-Cola.

Kokain ketika itu tidak dianggap berbahaya dan dibenarkan kepada warga Amerika sehingga tahun 1914.

Pada tahun 1919, Coca-Cola telah dijual dengan harga $25 juta kepada kumpulan pelabur yang diketuai oleh Ernest Woodruff.

Anaknya, Robert Winship Woodruff menjadi presiden dan pengerusi Coca-Cola untuk tempoh tiga dekad.

I’d Like to Buy the World a Coke

Pada tahun 1971, sebuah lagu yang bertajuk “I’d Like to Buy the World a coke” telah dicipta oleh Billy Davis dan Roger Cook untuk tujuan pemasaran Coca-Cola ke seluruh dunia.

Idea tersebut telah diilhamkan oleh Bill Backer yang merupakan pengarah kreatif Coca-Cola. Beliau telah mengarahkan dua orang penulis lirik untuk membuat lagu untuk Coca-Cola.

Pada 12 Februari 1971, lagu tersebut telah dilancarkan di stesen radio di seluruh AS, namun ia tidak mendapat sambutan yang baik oleh orang ramai.

Oleh itu, Becker mencadangkan bahawa lagu tersebut perlulah divisualkan supaya ia mungkin dapat menarik perhatian orang ramai.

Bajet untuk menghasilkan video tersebut berjumlah $250,000 dan merupakan bajet terbesar yang pernah digunakan untuk pengiklanan televisyen komersial pada era tersebut.

Akhirnya pada Julai tahun yang sama, video tersebut telah ditayangkan dan ia berjaya mendapat reaksi yang positif oleh orang ramai.

Pada November 1971, Coca-Cola telah menerima 100,000 pucuk surat yang memuji lagu dan iklan yang telah Coca-Cola lancarkan.

Cabaran & Kejatuhan Syarikat

Coca-Cola menghadapi cabaran daripada syarikat pengeluar minuman lain dan mengalami kejatuhan dalam jualannya pada tahun 1985.

Oleh itu, mereka telah mencipta minuman baharu yang dikenali sebagai New Coke dan turut menukar logo yang baru.

Namun New Coke tidak mendapat sambutan yang baik apabila pelanggan mereka lebih suka perisa Coca-Cola yang dahulu.

Pengeluaran New Coke telah ditamatkan sepenuhnya pada tahun 2002.

 

Namun hal tersebut bukanlah penghalang bagi Coca-Cola untuk terus maju dalam perniagaan pada tahun-tahun berikutnya.

Sehingga kini, Coca-Cola telah dijual di seluruh dunia kecuali di dua negara iaitu di Cuba dan Korea Utara.

Hal ini menjadikan Cola-Cola sebagai syarikat pengeluar minuman yang terbesar dan paling terkenal di seluruh dunia.

Bagi anda, adakah Coca-Cola air berkarbonat yang paling sedap di dunia?

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat