Sesi pasaran Eropah diperlihatkan oleh bacaan akhir data GDP UK yang tersasar dari jangkaan dengan menguncup 2.2% pada suku pertama 2020, berbanding unjuran dari bacaan awal untuk kekal dengan penguncupan 2.0%.
Ini merupakan penguncupan terbesar yang pernah direkodkan sejak tahun 1979, pada awal 2020 ketika isi rumah mengurangkan perbelanjaan, menurut data rasmi yang turut merangkumi rekod beberapa hari pertama perlaksanaan sekatan coronavirus di negara itu.
Kesan kejatuhan ekonomi UK daripada wabak pandemik telah mendorong Perdana Menteri Boris Johnson untuk menerapkan dasar-dasar Perjanjian Baru oleh mantan Presiden AS, Franklin D. Roosevelt yang digunakan ketika krisis Great Depression pada tahun 1930 an.
Sehubungan itu, PM Johnson dilaporkan akan melancarkan rancangannya untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi UK pada hari ini, yang mana beliau bakal mengumumkan untuk meningkatkan pelaburan infrastruktur sebanyak £5 bilion pound.
Walau bagaimanapun, ia gagal merangsang matawang pound untuk meningkat berikutan tercetusnya kebimbangan terhadap bagaimana kerajaan UK akan membayar perlaksanaan rancangan tersebut setelah PM Johnson berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan telah menekan dagangan pound.
Pinjaman bersih sektor awam untuk menampung peningkatan besar perbelanjaan kerajaan dilaporkan telah mencecah £55.2 bilion pada Mei, menyebabkan ia meningkat lebih 100% daripada GDP UK.
Matawang pound terus didagangkan rendah berbanding US dolar pada awal dagangan sesi Eropah, setelah menyusut ke paras terendah bulanan terbaru pada sesi sebelumnya.
Selain itu, keraguan dalam rundingan perdagangan pasca-Brexit turut mempengaruhi matawang pound memandangkan hanya terdapat perkembangan kecil dibuat dalam usaha untuk kesepakatan antara UK dan EU.