Bagaimana Bursa Saham Pada Permulaan November?

282

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini kerana kekurangan minat belian berikutan ketiadaan sebarang pemangkin baharu yang boleh memberikan hala tuju pasaran.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.31 mata kepada 1,462.58 selepas dibuka 1.42 mata lebih rendah pada 1,465.47.

Lapor Bernama, kaunter rugi mengatasi untung dengan 290 berbalas 108 manakala 238 kaunter tidak berubah, 1454 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 225.11 juta bernilai RM97.12 juta.

Keputusan kadar faedah oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok, pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, data pengangguran dan pengeluaran perindustrian pada 9 November serta pilihan raya presiden AS esok telah mempengaruhi pergerakan pasaran, terutamanya pasaran-pasaran sedang pesat berkembang.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee, berkata FBM KLCI, yang menyaksikan jualan yang agak hebat Jumaat lalu, tidak akan pulih dalam masa terdekat.

“Kedua-dua faktor dalaman dan luaran mungkin tidak akan menarik sebarang aktiviti pembelian buat masa ini.

“Oleh itu, melainkan tahap 1,500 dicecah, indeks penanda aras mungkin boleh stabil dalam lingkungan julat 1,450-1,500 pada masa ini,” kata beliau dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Dagangan dan Petronas Gas masing-masing turun empat sen kepada RM17.20 dan RM15.70, Tenaga susut tiga sen kepada RM9.51, Petronas Chemicals jatuh 10 sen kepada RM5.75, Top Glove lebih rendah 11 sen kepada RM8 .46 dan Axiata berkurangan tiga sen kepada RM2.90.

Petronas Chemicals dan Top Glove turut mendahului kaunter paling rugi pagi ini.

Di kaunter paling cergas, kaunter teknologi menguasai dengan Diversified Gateway Solutions dan Dataprep masing-masing menambah satu sen kepada 20.5 sen dan 19 sen.

Bagi saham untung, Chemical Company of Malaysia meningkat 18 sen kepada RM2.15, MBM Resources menambah sembilan sen kepada RM2.73 dan Scientex mengukuh enam sen kepada RM11.94.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 40.79 mata kepada 10,572.79, Indeks FBMT 100 turun 38.42 mata pada 10,394.21 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 71.63 mata kepada 12,670.05.

Sementara itu, FBM 70 merosot 81.47 mata kepada 13,903.61 dan FBM ACE 22.05 mata lebih lemah pada 9,421.15.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.09 mata kepada 12.011.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 1.19 mata lebih rendah pada 139.95 dan Indeks Perladangan turun kepada 3.76 mata kepada 6.798.14.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat