CGS-CIMB menyokong pemegang saham FGV Holdings Bhd menerima tawaran pengambilalihan saham oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Firma pembrokeran tersebut seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata harga saham syarikat perladangan itu mendapat rangsangan daripada laporan media sebelum ini berkenaan kemungkinan tawaran pengambilalihan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang membawa kepada jangkaan saham itu boleh dinilai semula hampir kepada nilai saksamanya ketika itu.
“Bagaimanapun, berikutan perkembangan terkini dan penguasaan lebih 50% Felda dalam FGV, tawaran saingan bagi FGV tidak dijangkakan.
“Apungan bebas FGV juga akan turun selepas tawaran pengambilalihan. Oleh itu, kami cenderung menjangkakan tawaran itu diterima memandangkan peningkatan terhad paras harga semasa dan mengambil kira risiko,” ujar CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Pada 22 Januari lalu, penasihat bebas RHB Investment Bank berkata, harga RM1.30 sesaham itu ‘tidak adil tetapi berpatutan’ tetapi mengesyorkan pemegang saham FGV menerima tawaran itu.
Bagaimanapun, pengarah tidak berkepentingan FGV menasihati pemegang saham menolak tawaran itu kerana nilai tawaran terbabit berada di bawah harga saham terbitan awam (IPO) pada RM4.55 sesaham dan kualiti aset perladangan FGV telah bertambah baik dengan ketara sejak IPO.
Dalam pada itu, menurut CGS-CIMB, nasihat yang bercanggah itu berkemungkinan disebabkan jangkaan berbeza terhadap prestasi harga saham FGV selepas tempoh tawaran berakhir.
Jelasnya, pengarah bebas FGV mungkin percaya harga saham akan meningkat susulan harga minyak sawit mentah dan profil usia estet yang bertambah baik.
Ujar RHB Investment Bank, cadangan itu tidak adil kerana RM1.30 yang ditawarkan adalah rendah dan merupakan diskaun 8.5% hingga 18.8% berbanding jajaran anggaran nilai sesaham FGV yang diperoleh menggunakan kaedah penilaian SOP antara RM1.42 dan RM1.60.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ bagi saham FGV dan harga sasaran RM1.30 bagi mencerminkan harga tawaran pengambilalihan.