Bakal Buat China Mengamuk, Kali Ni AS Sekat Import Kapas dan Tomato

1,276

Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengeluarkan arahan sekatan import terhadap produk kapas dan tomato dari wilayah Xinjiang, China ekoran wujud dakwaan penghasilan produk terbabit dilakukan oleh buruh paksa.

Menurut Reuters memetik jurucakap CBP, pada awalnya, pentadbiran Presiden Donald Trump mahu mengumumkan mengenai arahan tersebut dijadualkan semalam tetapi ditangguhkan sehingga akhir minggu ini berikutan ‘isu jadual’.

Tindakan berkenaan dilihat akan mengeruhkan lagi ketegangan antara dua kuasa ekonomi besar dunia itu.

CBP mempunyai hak untuk menyekat penghantaran barangan import sekiranya wujud prasangka berhubung pembabitan buruh paksa di bawah undang-undang AS yang dilaksanakan bagi membanteras pemerdagangan manusia, buruh kanak-kanak dan lain-lain pelanggaran hak asasi manusia.

Pentadbiran Trump sering kali membidas ‘layanan buruk’ China terhadap etnik Muslim Uighur di Xinjiang. Malahan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mempunyai laporan yang sahih bahawa 1 juta etnik terbabit ditahan di wilayah itu.

China bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa kem-kem tahanan di wilayah itu digunakan sebagai pusat latihan vokasional bagi menentang kumpulan ekstremisme.

Menurut Pesuruhjaya Penolong Eksekutif CBP, Brenda Smith, sekatan import itu tertakluk kepada keseluruhan rantaian bekalan melibatkan kapas dan tomato seperti tekstil serta pakaian dan pes tomato.

“Kami mempunyai bukti yang belum konklusif mengenai penglibatan buruh paksa di Xinjiang. Kami akan meneruskan siasatan bagi mendapatkan butiran lebih terperinci,” katanya.

China merupakan pengimport kapas terbesar di dunia dan menyumbang kira-kira 20% bekalan kapas di seluruh dunia.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat