Adakah minyak masak paket target seterusnya untuk penghapusan subsidi?
Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk memansuhkan subsidi minyak masak paket yang didakwa menjadi punca ketirisan besar di pasaran tempatan dan sempadan negara.
Subsidi yang bertujuan meringankan beban rakyat ini dilaporkan sering disalah guna, malah terdapat laporan ia dijual di negara jiran seperti Thailand.
Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, situasi ini telah menjadi satu pembaziran besar, dengan kerajaan menanggung kos jutaan ringgit setiap bulan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang merangka kaedah baharu untuk memastikan bantuan lebih sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan antaranya menggantikan subsidi ini dengan bantuan kewangan khas kepada golongan sasaran.
Namun begitu, keputusan muktamad masih belum dicapai di peringkat Kabinet.
Persoalannya, adakah ini langkah penyelesaian atau hanya memindahkan beban kewangan kepada rakyat?