Yen mula paparkan corak penyusutan lebih jelas pada sesi Asia pagi ini selepas berjaya mengekalkan pengukuhan untuk 5 hari berturut-turut berbanding US dolar sebelum ini.
Pada minggu lalu, Bank of Japan (BOJ) telah menaikkan kadar faedah ke paras 0.25% dan mengumumkan rancangan pengurangan pembelian bon kerajaan.
Langkah pengetatan dasar monetari oleh BOJ itu telah menyokong Yen untuk mengukuh dalam pasaran.
Namun, tindakan yang dibuat oleh bank pusat itu dilihat memberi kesan yang buruk terhadap pasaran kewangan di Jepun sehingga mengakibatkan firma-firma gergasi dan bank-bank utama berdepan masalah.
Pelabur mula mengalih keluar pelaburan mereka untuk mengelakkan kerugian dengan kenaikan kadar faedah yang ditetapkan bank pusat.
Setelah mencapai paras 142.00, Yen kembali melemah semula dan sehingga ke pembukaan sesi Eropah hari ini, harga sudah berada di paras 147.00.
Penyusutan nilai Yen dipengaruhi oleh petunjuk terbaru dari bank pusat yang menyatakan bahawa tiada kenaikan kadar faedah akan dilakukan ketika suasana pasaran yang berisiko.
Timbalan Gabenor BOJ Shinichi Uchida berpandangan adalah perlu untuk bank pusat untuk mengekalkan dasar monetari semasa.
Nada beliau yang tampak lebih berhati-hati dilihat berbeza dengan Gabenor Kazuo Ueda pada minggu lalu yang lebih hawkish ketika mengumumkan kenaikan kadar faedah.