“Daripada duduk diam je, baik harga kripto naik turun laju kan.”
Pasaran mata wang kripto yang mendapat pukulan hebat minggu lalu disebabkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) diramalkan bakal menyaksikan lagi pergerakan volatile pada minggu ini.
Hal ini kerana terdapat banyak dokumen penting dalam tuntutan mahkamah Ripple (XRP) yang akan dikeluarkan di tengah-tengah pertikaian undang-undang difailkan baru-baru ini antara SEC AS dan Binance.
Dilaporkan bahawa bursa kripto tersebut bertindak balas terhadap permohonan SEC yang meminta mahkamah persekutuan mengeluarkan perintah sekatan untuk membekukan aset Binance US buat sementara waktu.
Berbalik pada penerangan, pasaran kripto berkemungkinan berada dalam keadaan tidak menentu apabila SEC pada hari ini mendedahkan perbincangan dalaman Bill Hinman yang menyebut Ethereum (ETH) adalah sekuriti.
Sementara pasaran kripto termasuk para pelabur turut memberi tumpuan pada terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan diumumkan pada 13 Jun diikuti dengan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Khamis minggu ini.
Pasaran kripto juga harus bersiap sedia susulan Bank Pusat Eropah (ECB) dijangka akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada 15 Jun 2023, tetapi sebahagiannya berpendapat ia akan hentikan kenaikan untuk sepanjang tahun ini.
Setakat penulisan ini, harga BTC melonjak sebanyak 0.32% pada paras $26,029 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $504 bilion manakala Ethereum (ETH) tergelincir 0.11% pada $1,747 dan XRP raih sekitar 1.02% pada $0.52.