Banyaknya Mesir Rugi Sebab Terusan Suez Tersekat!

3,640

Mesir mengalami kerugian kira-kira AS$14-AS$15 juta setiap hari berikutan insiden kapal Ever Given yang tersangkut di Terusan Suez sekali gus menghalang laluan perdagangan berkenaan.

Kira-kira 12% perdagangan global dilakukan melalui terusan tersebut serta menyediakan akses laluan paling pendek antara Asia dan Eropah.

Menurut syarikat insurans Jerman, Allianz, insiden terbabit berkemungkinan mengakibatkan kerugian terhadap perdagangan global antara AS$6 bilion ke AS$10 bilion setiap minggu dan pertumbuhan perdagangan tahunan menyusut sebanyak 0.2 ke 0.4 mata peratusan.

Dalam pada itu, broker perkapalan, Braemar ACM memberitahu Wall Street Journal bahawa kos menyewa beberapa kapal untuk menghantar kargo ke dan dari Asia serta Asia Barat melonjak sebanyak 47% minggu ini kepada AS$2.2 juta.

Beberapa kapal terpaksa mengambil laluan alternatif, sekali gus memanjangkan lagi tempoh perjalanan mereka kepada lapan hari.

Insiden tersebut bukan sahaja menjejaskan industri perkapalan global atau ekonomi Mesir, malahan banyak perniagaan daripada penyedia pengangkutan domestik kepada peruncit, pasar raya dan pengeluar turut menerima impak buruk.

Jumlah kerosakan dan kos kerugian sebenar masih sukar ditentukan sehinggalah kapal Ever Given dialihkan dan perdagangan diteruskan tetapi banyak firma terpaksa membuat keputusan kritikal sekiranya sekatan itu berterusan untuk tempoh satu minggu lagi.

Sekiranya situasi di Terusan Suez berterusan, sesetengah firma terpaksa mengeluarkan kos yang banyak iaitu sebanyak tiga kali ganda untuk menempah pesawat supaya bekalan mereka dapat sampai dengan lebih cepat.

Kerja-kerja pengalihan kapal itu masih dilakukan oleh pihak berkuasa Mesir.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat