Dituduh Minta Suapan 10%, Bekas Menteri Kewangan Ditahan SPRM

458

Pagi tadi bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tampil di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta atas dakwaan membabitkan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Untuk pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas menteri tersebut malam tadi setelah mendapat keizinan daripada Peguam Negara, mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Walau bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan sebanyak 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak. Dikatakan bahagian itu merupakan upah untuk membantu syarikat yang dilantik untuk meneruskan projek yang turut membabitkan pembinaan jalan-jalan utama.

Terbaru Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membenarkan bekas menteri itu diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin termasuk pasport antarabangsa dan diplomatik diserahkan kepada mahkamah.

Bekas Ketua Menteri Pulang Pinang itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 10 Ogos jam 9 pagi atas kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Keesokannya pada 11 Ogos jam 9 pagi, setiausaha agung DAP itu akan didakwa di mahkamah yang sama kerana kesalahan mengikut Seksyen 23 akta yang sama.

Dilaporkan kes tersebut disiasat oleh SPRM sejak 2017 dan ini bukan kali pertama Guan Eng dipanggil SPRM.

Beliau sudah tampil sebanyak tiga kali ke ibu pejabat SPRM pada Julai lalu untuk memberi keterangan berhubung projek pembinaan terowong itu yang membabitkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM6.3 bilion.

Projek terowong itu mempunyai kepanjangan 7.2 kilometer, menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

Usaha itu merupakan antara rancangan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), iaitu projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion.

PTMP turut merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluas bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat