Harga minyak kembali susut selepas kapal kontena gergasi Ever Given dilaporkan telah berjaya diapungkan pada pagi Isnin setelah tersekat hampir seminggu di Terusan Suez, menurut penyedia perkhidmatan maritim Inchcape Shipping.
Ever Given yang juga dikenali sebagai Ever Green seperti yang ditulis di badan kapal, berjaya diapungkan semula kira-kira jam 4.30 pagi waktu tempatan di Mesir setelah 27,000 meter padu pasir digali.
Bagaimanapun, setakat ini masih tidak jelas sama ada bila laluan di terusan itu akan dibenarkan untuk lalu lintas. Lebih 300 kapal tersekat sejak Ever Given menghalang laluan yang menghubungkan Asia ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Kapal tangki yang membawa minyak, kapal kontena dan pengangkut pukal adalah antara ratusan kapal yang tersekat di kedua-dua hujung terusan.
Dagangan minyak mentah yang meraih sokongan daripada insiden ini, kembali diniagakan susut susulan laporan tersebut.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 1.6% kepada $63.40 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula didagangkan pada $59.90 setong setelah susut kira-kira 1.7% pada sesi Asia.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya OPEC+, akan mengadakan pertemuan pada minggu ini bagi menentukan penetapan pengeluaran minyak seterusnya.