Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden merancang untuk mengumumkan sekatan baharu terhadap Rusia semasa pertemuannya dengan NATO dan sekutu Eropah di Brussels minggu ini, menurut penasihat keselamatan negara AS Jake Sullivan pada Selasa.
Biden, yang akan mengambil bahagian dalam mesyuarat khas NATO dan berucap pada sidang kemuncak Majlis Eropah, turut dijangka membincangkan pelarasan jangka panjang kepada postur pasukan NATO dan kontingensi dalam kes penggunaan senjata nuklear.
Selain itu, beliau juga dikatakan akan mengumumkan ‘tindakan bersama’ untuk meningkatkan sokongan tenaga di Eropah yang sangat bergantung kepada import minyak mentah dan gas dari Rusia.
Amerika dan sekutunya telah mengenakan sekatan besar-besar terhadap ekonomi Rusia sebagai hukuman kerana menyerang Ukraine dan turut membekalkan berbilion dolar senjata serta bantuan untuk pertahanan Kiev.
Walaupun tidak menghantar tenteranya ke Ukraine, tetapi Biden berjanji untuk mengekalkan komitmen negara itu dalam mempertahankan anggota NATO jika mereka diserang.
Biden akan berlepas pada hari Rabu ke Brussels, tempat NATO dan Kesatuan Eropah (EU) berpangkalan. EU juga menjemput Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk berucap dalam sidang kemuncak tersebut.