“Terbaiklah Binance, tetap tidak berputus asa walaupun perlu harung banyak cabaran.”
Bursa gergasi mata wang kripto Binance akhirnya berjaya menerima lesen beroperasi sepenuhnya dalam menawarkan perkhidmatan di El Salvador semasa penggunaan Bitcoin (BTC) di negara tersebut semakin meningkat.
Suka dimaklumkan Binance telah menjadi bursa kripto pertama yang memperoleh lesen operasi daripada Bank Pusat El Salvador dan Suruhanjaya Kebangsaan Aset Digital di negara itu.
Perkembangan itu menunjukkan betapa komitmennya Binance mematuhi peraturan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan persekitaran dagangan selamat untuk penggunanya secara global.
Umum mengetahui ketua baru Binance di Amerika Latin bernama Min Li telah memuji kerajaan Salvador yang menyokong kripto sambil mempamerkan gabungan antara keselamatan dan inovasi dalam ruang aset digital.
Rentetan itu, pelesenan Binance di El Salvador dijangka bukan sahaja dapat merangsang inovasi malah menggalakkan pembangunan ekosistem kripto tempatan.
Bagaimanapun, Binance sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa kawal selia di pelbagai negara, di mana Amerika Syarikat (AS) telah bangkitkan kebimbangan tentang kekurangan pengawasan kawal selia dan lain-lain.
Susulan itu, beberapa negara telah mengambil tindakan terhadap Binance dan menyebabkannya terpaksa keluar dari pasaran tertentu tetapi kelulusan Binance di El Salvador dapat membangkitkan semula kedudukannya yang sudah tercalar.
Ia juga dapat meningkatkan kredibiliti Binance ekoran berjaya menavigasi proses kawal selia di negara yang terkenal dengan penggunaan kripto.