Binasat Beli 51% Ekuiti BCSB

312

Binasat Communications Bhd memeterai perjanjian untuk membeli 255,000 saham biasa atau 51% kepentingan ekuiti dalam Borderless Connection Sdn Bhd (BCSB) dengan harga RM18.36 juta.

Sejajar dengan cadangan pengambilalihan itu, syarikat tersebut bercadang untuk melaksanakan cadangan pempelbagaian aktiviti utama Binasat dan anak syarikatnya dengan memasukkan penyediaan perkhidmatan infrastruktur utiliti termasuk perkhidmatan utiliti rangkaian transmisi dan pengagihan serta kemudahan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kemudahan fotovoltaik solar (PV).

“Lembaga percaya perniagaan BCSB akan menyediakan arus pendapatan tambahan kepada syarikat dan mempelbagaikan asas pendapatannya.

“Pada masa depan lembaga menjangka perniagaan utiliti kuasa, mengikut cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang 25% atau lebih kepada keuntungan bersih syarikat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bernama melaporkan, langkah itu juga merupakan inisiatif syarikat berkenaan untuk mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan sedia adanya.

Sementara itu, selepas cadangan pengambilalihan itu, BCSB berhasrat memanfaatkan status penyenaraian Binasat sebagai syarikat senaraian awam di Pasaran ACE, reputasi, rangkaian industri dan sumber untuk menyertai dalam lebih banyak projek transmisi dan pengagihan.

Bayaran pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan tunai dan saham.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat