“Macam berpotensi naik tapi jangan yakin sangat takut diri sendiri merana.”
Mike Novogratz, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galaxy Digital Holdings sungguh yakin mata wang kripto Bitcoin (BTC) bakal menembusi paras harga $30,000 sebelum akhir bulan Mac 2023.
Mengimbas semasa bercakap di persidangan Bank of America pada 15 Februari 2022, beliau turut berkata akan menjadi lelaki paling gembira sekiranya tahun 2022 berakhir dengan BTC berada pada paras $30,000 dan kali ini Novogratz didapati menyebut kenyataan yang serupa.
Namun, ramalan Novogratz baru-baru ini jauh lebih rendah berbanding dahulu yang percaya BTC boleh mencapai harga $500,000 menjelang akhir tahun 2027 jika Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak menaikkan kadar faedah secara agresif.
Beliau juga tidak menjangkakan Fed akan mengubah nadanya dalam tempoh terdekat susulan pengerusi Fed Jerome Powell pada 1 Februari mengumumkan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berbanding sebelum ini yang lebih tinggi.
Di samping kenaikan kadar Fed pada Februari, Powell yang melihat inflasi di AS telah mula perlahan berjaya memberi lonjakan harga kepada BTC melepasi paras $24,000 sebelum susut semula di bawah $22,000.
Pun begitu, harga BTC canak semula hampir 12% mencecah paras $24,700 selepas Indeks Harga Pengguna (CPI) AS pada Januari melihat inflasi di paras 6.4%, di mana ia masih bacaan terendah untuk 7 bulan.
Secara keseluruhannya, BTC masih perlu memperoleh lebih kurang 22% lagi menjelang 31 Mac 2023 untuk mencapai harga ramalan Novogratz, iaitu $30,000 dan setakat ini aset digital tersebut berada pada paras $24,632 dalam tempoh 24 jam lalu.