“Hmmm pergerakan harga BTC masih tidak memberi sebarang kejutan la.”
Harga ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) tergelincir melebihi 3% pada paras $23,800 sebelum terbitan minit mesyuarat FOMC, tetapi kini melonjak sedikit pada $24,147 dalam tempoh 24 jam lalu.
Semasa minit mesyuarat FOMC diterbitkan awal pagi tadi, pegawai-pegawai Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) mencadangkan kedua-dua pandangan hawkish dan dovish, tetapi perbincangan tentang pemberhentian kenaikan kadar faedah sama sekali tidak dilontarkan.
Namun, kebanyakan pegawai Fed berpandangan memperlahankan kenaikan kadar faedah adalah salah satu pengurusan risiko yang sesuai, di mana Fed telah menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Januari daripada 50 dan 75 mata asas sepanjang tahun 2022.
Namun begitu, pegawai Fed yang berpendirian hawkish didapati ingin menaikkan kadar faedah 50 mata asas pada bulan Mac manakala 25 mata asas pada bulan Mei.
Menerusi pemerhatian, Fed masih berhasrat untuk naikkan kadar faedah bagi memastikan inflasi benar-benar turun ke sasaran bank pusat 2%.
Susulan daripada minit mesyuarat tersebut, jumlah modal pasaran kripto menurun sebanyak 2.92% daripada hari sebelumnya, meletakkannya pada $1.08 trilion.
Sementara pasaran saham menyaksikan pergerakan tidak menentu apabila Perindustrian Dow Jones tetap tidak bergerak daripada paras sebelumnya, namun S&P 500 melihat keuntungan sekitar 0.1% manakala komposit Nasdaq 0.3%.