“Jika diperhatikan, harga BTC susah nak pecah $30K ataupun turun sehingga $24K.”
Sejurus selepas syarikat gergasi pengurusan dana BlackRock memfailkan kertas kerja untuk spot Bitcoin (BTC) ETF*, harga raja mata wang kripto tersebut akhirnya berjaya melepasi paras $26,000 pada Ahad semalam.
*Dana dagangan bursa yang menjejaki harga BTC, sama ada melalui pasaran spot, derivatif atau pemilikan BTC
Walaupun prestasi pasaran kripto menyaksikan peningkatan, pergerakan harga BTC dan Ethereum (ETH) didapati masih lemah susulan pelabur bimbang mengenai inflasi dan tindakan agresif yang dikenakan oleh pengawal selia Amerika Syarikat (AS) terhadap aset digital.
Menurut Gabenor Federal Reserve (Fed) Christopher Waller, bank pusat AS sehingga kini tetap bimbang berkenaan inflasi biarpun terdapat banyak kritikan yang menyatakan bahawa pendirian hawkish mereka adalah penyebab krisis perbankan tercetus.
Tambahnya lagi ketika berada di persidangan ekonomi di Norway, beliau tidak berhasrat melonggarkan dasar monetari jika hanya beberapa bank sahaja yang terkesan disebabkan pendirian hawkish Fed dan ini membawa makna naikkan kadar faedah adalah tindakan tepat untuk melawan inflasi.
Pun begitu, pemfailan BlackRock tersebut berkemungkinan dapat bantu harga kripto termasuk BTC daripada mengalami kejatuhan drastik, ulas Mark Connors yang bertugas sebagai ketua penyelidikan di 3iQ.
Malah, pemfailan itu yang dapat membentangkan proses jelas berhubung custody, kecairan dan pemantauan harga berupaya beri kesan positif kepada bursa aset digital seperti menarik balik dakwaan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS terhadap Coinbase.
Setelah mencapai $26,700, harga BTC pada masa ini tergelincir semula pada paras $26,375 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $511 bilion tetapi tetap mencatatkan lonjakan 1.54% sepanjang minggu lepas.
Manakala ETH pula mencanak sekitar 0.03% pada paras $1,724 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan volum dagangan $3 bilion dan Ripple (XRP) raih 1.44% pada $0.48 namun masih merekodkan penurunan 6.27% dalam masa tujuh hari lepas.