Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan akan disemak semula meningkat tahun depan susulan rancangan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang boleh mencetuskan pusingan baharu tekanan inflasi.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024 pada 6 November (Selasa) ini akan menjadi titik penting penetapan kadar faedah di Malaysia.
Katanya lagi, jangkaan umum dalam kalangan pakar ekonomi ialah BNM akan mengekalkan OPR pada 3.0% memandangkan kadar inflasi yang terus rendah kekal di bawah 2.0% sepanjang tahun.
Tempoh inflasi yang rendah ini mencerminkan kejayaan langkah-langkah monetari yang telah diambil sebelum ini serta kestabilan harga barangan di pasaran luar.
Namun, keadaan pada 2025 berkemungkinan mencetuskan semakan semula dasar monetari. Rancangan kerajaan untuk menumpukan subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 boleh menyebabkan tekanan inflasi.
Rasionalisasi subsidi dijangka meningkatkan kos bahan api, komponen penting dalam kos pengangkutan dan pengeluaran yang berpotensi menyebabkan inflasi besar-besaran.
Bukan itu sahaja, pelaksanaan kenaikan gaji minimum yang dijadualkan pada 1 Februari 2025 daripada RM1,500 kepada RM1,700 bakal memberikan implikasi kepada inflasi.
Interaksi antara kenaikan gaji dan perbelanjaan pengguna yang meningkat juga perlu diambil kira.
Apabila pekerja menerima gaji yang lebih tinggi ada kemungkinan bahawa perbelanjaan domestik akan bertambah dan boleh mendorong pertumbuhan ekonomi jangka pendek tetapi juga meningkatkan tekanan harga.
Jika ini berlaku, BNM mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi bagi mengelakkan ekonomi daripada terlalu tertekan. – NSTP