“Bukan biasa-biasa, harga NEAR berterusan naik kot sejak awal Oktober 2023.”
Mata wang kripto NEAR diasaskan oleh Near Protocol akhirnya berjaya menyaksikan pendakian besar-besaran bagi mencapai $2.18 apabila terdapat sentimen kenaikan keseluruhan dalam pasaran aset digital.
Sentimen positif itu adalah susulan daripada lonjakan harga aset digital seperti Bitcoin (BTC) dan Ethereum (ETH) diikuti jangkaan untuk kelulusan spot BTC ETF di Amerika Syarikat (AS) termasuk acara halving BTC yang akan berlaku pada April 2024.
Namun perlu diketahui bahawa kenaikan harga NEAR turut didorong oleh sokongan diberikan Binance Japan yang berhasrat menambah 13 token baharu termasuk NEAR pada platformnya pada 27 November 2023.
Sejurus selepas tindakan itu dilaksanakan, Binance Japan dapat meningkatkan jumlah tawaran kripto mereka pada 47 dengan matlamat masa depan untuk menyokong 100 token.
NEAR yang menjadi antara token berprestasi terbaik dalam pasaran kripto sejak beberapa hari lalu telah mencanak 110% dalam masa sebulan setelah BTC dan ETH masing-masing naik untuk capai $38,000 serta $2,100.
Menerusi pemerhatian pada carta harga, NEAR harus menembusi zon rintangannya pada $2.15 terlebih dahulu untuk meneruskan kenaikan lebih tinggi tetapi jika gagal maka aset digital itu mampu terjun atau buat pullback semula pada $1.84 diikuti $1.68.
Sehingga berita ini ditulis, harga NEAR yang kini didagangkan pada $1.99 telah mencatatkan penyusutan sedikit kira-kira 1.81% dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $1 bilion namun tetap canak 25.72% sepanjang minggu lepas.