Broker Saham Gesa Bursa Malaysia Ditutup!

3,052

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan bursa saham mengeluarkan kenyataan bahawa Bursa Malaysia akan terus beroperasi meskipun dunia sedang mengalami krisis. Hal ini berikutan oleh gesaan daripada broker saham untuk mereka menutup bursa bagi mengelakkan krisis pasaran semakin meruncing akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut sebuah kenyataan, sesi dagangan dan operasi pasaran tetap akan diteruskan agar para pelabur dapat menguruskan risiko dan peluang mereka dengan sebaiknya. Selain itu, penutupan pasaran tidak mampu mengurangkan atau menangani ketidakstabilan yang tercetus. Sebaliknya, ia akan mewujudkan sentimen pasaran tidak menentu kerana para pelabur tidak mempunyai akses terhadap pelaburan mereka.

Di samping itu, para pengawalselia pasaran akan terus peka terhadap setiap perkembangan bagi menguruskan risiko pasaran secara efektif dan mencadangkan langkah-langkah pencegahan yang sesuai.

Isnin lalu, Malaysia telah mengisytiharkan penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan yang mengakibatkan penutupan sekolah, pusat pengajian tinggi, dan premis perniagaan sehingga 31 Mac.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia telah menggesa kerajaan supaya menggantung sesi dagangan saham selaras dengan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan.

Menurut pengerusinya, Azman Manaf dalam satu kenyataan bahawa Bursa Malaysia harus digantung pada masa ini sebagai langkah untuk menyelamatkan kedudukannya dan melindungi pasaran saham daripada mengalami krisis lebih buruk yang memerlukan tempoh masa yang panjang untuk kembali pulih.

Tambahan daripada itu, beliau mendedahkan bahawa pasaran saham Malaysia telah mengalami penurunan sebanyak 23% dalam permodalan pasaran sejak akhir tahun 2019, kepada RM805 bilion semalam.
Selain itu, indeks saham pula telah jatuh hari ini ke tahap terendah sejak 2009. Kadar bon 10 tahun Malaysia meningkat 61 mata asas dalam dua minggu terakhir pada 3.37%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat