Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Saham Teknologi Kekal Mendahului

210

Bursa Malaysia dibuka tinggi untuk hari kedua berturut-turut disumbangkan oleh momentum pasaran yang positif menyebabkan indeks kewangan dan permodalan kecil lebih tinggi.

Bernama melaporkan, selepas mencatatkan keputusan suku tahun yang rendah pada minggu lalu dan mengalami harga saham yang lebih rendah, sektor perbankan mula mencatat kemajuan di bursa tempatan.

Ia mencatatkan harga saham yang lebih tinggi pada pembukaan hari ini, walaupun peserta pasaran masih memberi tumpuan kepada mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan datang dijadualkan pada 10 September.

Maybank, Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat enam sen, 16 sen dan lima sen serta mereka menyumbang 3.637 mata kepada indeks komposit.

Pada 9.11 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.33 mata kepada 1,525.76 daripada 1,521.43 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka tinggi 3.69 mata kepada 1,525.12.

Suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 334 berbanding 179, manakala 348 kaunter tidak berubah, 1,145 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.2 bilion saham bernilai RM326.70 juta.

Daripada saham wajaran tinggi, pengeluar sarung tangan getah, Top Glove meningkat dua sen kepada RM26.52, Tenaga menambah enam sen kepada RM11.04, bagaimanapun Hartalega susut 10 sen kepada RM16.36 dan IHH merosot satu sen kepada RM5.32.

Dalam kalangan saham cergas, kaunter berkaitan teknologi iaitu DGB Asia, MQ Technology dan Vsolar, masing-masing diniagakan aktif, menjejaki peningkatan dalam saham teknologi AS.

DGB susut setengah sen kepada lima sen manakala MQ Technology dan Vsolar, masing-masing menambah setengah sen kepada 24 sen dan 6.5 sen.

Kaunter untung masih didahului oleh syarikat berkaitan teknologi, Malaysian Pacific Industries, yang melonjak 78 sen kepada RM17.78, diikuti MSCM meningkat 28 sen kepada RM1.78 manakala syarikat berkaitan perladangan, Kwantas Corp menambah 22 sen kepada RM1.37.

Daripada kaunter paling rugi, Hong Leong Financial merosot 18 sen kepada RM12.82, Kossan Rubber jatuh 12 sen kepada RM15.68 dan Hartalega susut 10 sen kepada RM16.36 berikutan aktiviti pengambilan untung.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 42.06 mata kepada 11,116.52, Indeks FBMT 100 meningkat 30.64 mata kepada 10,900.08 dan FBM 70 menambah 40.46 mata kepada 14,801.78.

Indeks FBM Emas Shariah naik 26.90 mata kepada 13,247.82, manakala FBM ACE meningkat 3.59 mata kepada 11,208.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 74.75 mata kepada 12,586.73, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.63 mata kepada 136.26 dan Indeks Perladangan menambah 15.00 mata kepada 7,099.80.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat