Bursa Saham Dibuka Bercampur, Sektor Tenaga Diramal Melonjak

194

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana dan pengambilan untung dalam saham mewah terpilih, kata peniaga.

Menurut laporan Bernama, pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.56 mata kepada 1,555.52 daripada 1,554.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.21 mata kepada 1,554.75.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 238 berbanding 175, manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,337 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 524.72 juta saham bernilai RM240.78 juta.

Sektor tenaga dijangka didorong oleh kenaikan harga minyak mentah, yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima bulan berikutan pengeluaran dihentikan di Teluk Mexico disebabkan Taufan Laura.

Dari segi teknikal, platform dagangan saham dalam talian bersepadu, Rakuten Trade Sdn Bhd menjangka FBM KLCI tidak menentu dengan kecenderungan penurunan berikutan jualan dalam kaunter sarung tangan yang berterusan.

Paras sokongan segera dilihat pada 1,550 dengan paras halangan pada 1,570, katanya.

Pada saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM7.50, Top Glove naik 10 sen kepada RM25.50, Public Bank meningkat 20 sen kepada RM17.16, Tenaga dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot enam sen kepada RM10.96 dan RM5.90, manakala Hartalega berkurangan 22 sen kepada RM16.28.

Dalam kalangan saham cergas, Sapura dan XOX, masing-masing naik 1.5 sen kepada 13.5 sen dan 26.5 sen, dan Bintai meningkat 22.5 sen kepada 93 sen.

Kaunter paling untung C.I. Holdings naik 38 sen kepada RM1.66, Kossan Rubber menambah 36 sen kepada RM15.00 dan Petronas Gas meningkat 30 sen kepada RM17.08.

Kaunter paling rugi ialah Petronas Dagangan yang merosot 50 sen kepada RM20.72, diikuti Hartalega, dan MISC yang susut 21 sen kepada RM7.64.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.57 mata kepada 11,186.58, Indeks FBMT 100 naik 12.08 mata kepada 10,993.23 dan FBM 70 menambah 47.77 mata kepada 14,465.62.

Indeks FBM Emas Shariah naik 4.26 mata kepada 13,191.35 dan FBM ACE meningkat 89.12 mata kepada 10,978.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 35.74 mata kepada 12,949.61, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 25 mata kepada 140.33, dan Indeks Perladangan menambah 17.00 mata kepada 7,093.34.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat