“Hmmm akan ada apa-apa perubahan ke kalau Javier Milei penyokong BTC?”
Tanpa disedari, Javier Milei iaitu calon libertarian yang menyokong penghapusan bank pusat dan memandang positif terhadap mata wang kripto Bitcoin (BTC) telah memenangi pilihan raya presiden utama di Argentina.
Dengan 90% undian dikira, Milei daripada parti “La Libertad Avanza” mendapat 30.5% undi berbanding calon daripada “Juntos por el Cambio” dan “Unidos por la Patria” yang masing-masing menerima 28% serta 27%.
Umum mengetahui tinjauan sebelum pilihan raya mencadangkan Milei tidak akan mendapat undian tertinggi dalam pilihan raya, justeru keputusan tersebut sebenarnya agak mengejutkan ramai pihak.
Menurut Milei baru-baru ini, bank pusat adalah penipuan semata-mata di mana ahli politik menipu orang baik dengan cukai tetapi BTC sangat berbeza susulan ia mewakili pemulangan wang kepada pencipta asalnya.
Walaupun mempunyai sikap baik terhadap kripto, Milei tidak menyokong penggunaan BTC sebagai tender sah di Argentina namun sebaliknya menyeru untuk mendolarisasi ekonomi yang kini berhadapan dengan kadar inflasi tiga digit.
Jadi di sini dapat dilihat bahawa Milei bukan sahaja bercakap perkara baik tentang BTC malah menganggap aset digital sebagai alternatif paling selamat untuk berurus niaga dalam emas ataupun perak.
Namun perlu diketahui beliau sebelum ini pernah disaman atas kesalahan mempromosikan skim ponzi di Argentina dipanggil Coinx dan mencuri $800,000 dalam peso Argentina tetapi Milei didapati menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.
Susulan tiada calon yang mungkin memperoleh lebih 45% dalam pengundian hari ini, pilihan raya umum antara pemenang untuk setiap parti akan diadakan pada Oktober 2023 dan jika tiada siapa menerima 45% dalam undian itu, undian terakhir bakal diadakan pada November tahun ini.