CEO TikTok ‘Diserang’ Kongres AS!

597

Ketua Pegawai Eksekutif Tiktok, Shou Zi Chew berdepan detik mencemaskan selepas beliau diasak bertubi-tubi soalan daripada Kongres Amerika Syarikat.

Bagi mempertahankan syarikatnya daripada disekat, Zi Chew menghabiskan masa lebih lima jam ketika memberi keterangan di Kongres.

Namun, tugasnya tidak mudah kerana jawatankuasa Kongres sudah mempunyai alasan kukuh untuk menyekat Tiktok sebelum pertemuan itu bermula.

“Platform anda harus diharamkan, dan saya yakin anda akan mengatakan apa sahaja untuk mengelakkan keputusan ini” kata pengerusi Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Cathy McMorris Rodgers pada pembukaan.

Ekoran itu, Chew berulang kali cuba menafikan bahawa aplikasi itu berkongsi data atau mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China seperti mana yang didakwa oleh AS sebelum ini.

Selain itu, Kongres juga mendakwa aplikasi itu membahayakan kesihatan mental kanak-kanak dengan video yang mempromosikan bunuh diri, kecederaan diri sendiri dan gangguan makanan.

Pun begitu, Chew mengatakan Tiktok sudah lebih 2 tahun membina ‘tembok’ untuk melindungi data pengguna AS daripada akses asing yang tidak dibenarkan, mempertahankan aplikasinya adalah selamat buat pengguna khususnya golongan remaja.

Ujarnya, ia telah membelanjakan lebih daripada $1.5 bilion untuk usaha keselamatan data di bawah nama ‘Project Texas’ yang kini mempunyai hampir 1,500 pekerja sepenuh masa dan kontrak dengan Oracle Corp untuk menyimpan data pengguna AS.

Walaupun begitu, tidak seorang pun penggubal undang-undang yang ‘termakan’ dengan kata-kata tersebut kerana kegagalannya mengumumkan sebarang usaha baharu untuk menjaga privasi.

Setakat hari ini, penggunaan TikTok telah diharamkan daripada Kongres, White House, angkatan tentera AS dan lebih separuh negeri AS.

Beberapa negara juga telah mengambil langkah sama termasuk New Zealand, Denmark Kanada, Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat