China, AS Uji Peluru Berpandu

468

Cakap tak serupa bikin! Walaupun Menteri Luar China, Wang Yi semalam menyatakan China enggan mengeruhkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), namun agensi berita tentera rasmi Beijing, 81.cn melaporkan Beijing telah menjalankan ujian peluru berpandu baru-baru ini.

Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China dilaporkan melancarkan dua peluru berpandu model DF-26 dan DF-16 namun tarikh ujian tersebut tidak dinyatakan dalam laporan itu.

Model DF-26 dikatakan mempunyai keupayaan terbang sejauh 4,000 kilometer dan merupakan peluru berpandu konvensional pertama China. Peluru berpandu terbabit dikatakan mampu menyerang Guam, wilayah AS di barat Pasifik.

Sementara itu, DF-16 merupakan peluru berpandu berjarak dekat ke sederhana PLA paling tepat dan digunakan untuk menyerang sasaran di Jepun termasuklah pangkalan tentera AS di Okinawa.

Pelancaran kedua-dua peluru berpandu itu menunjukkan China berkemungkinan bersiap sedia menyerang AS atau mempunyai rancangan untuk berdepan dengan ancaman daripada tentera AS.

Dalam pada itu, Gerakan Pasukan Global Tentera Udara AS melancarkan peluru berpandu antara benua pada Selasa lalu.

Peluru berpandu terbabit terbang melebihi 6,000 kilometer dari pangkalan tentera di California ke Kepulauan Marshall di Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, Tentera Udara AS menepis dakwaan ujian terbabit tiada kena mengena dengan ujian peluru berpandu dijalankan oleh China.

Konfrontasi tentera kedua-dua negara sering dilihat di Laut China Selatan, sama ada di udara dan lautan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat