Senat Amerika Syarikat hari ini, sebulat suara telah meluluskan rang undang-undang untuk melaksanakan sekatan terhadap pegawai China atas pelanggaran hak asasi manusia terhadap minoriti muslim, etnik Uighur.
Rang undang-undang yang diperkenalkan oleh Senator Republik Marco Rubio, telah memohon sekatan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas penindasan rakyat Uighur dan kumpulan minoriti muslim lain.
Ia kemudiannya akan diserahkan kepada Dewan Perwakilan yang dipimpin oleh Demokrat bagi mendapatkan persetujuan sebelum dihantar ke White House untuk diluluskan oleh Presiden Donald Trump, menjadikannya sebagai undang-undang yang sah.
Kelulusan daripada Senat tersebut dibuat ketika hubungan antara dua negara gergasi ekonomi itu semakin menegang setelah Trump terus menyalahkan China dalam kegagalannya menangani krisis coronavirus pada peringkat awal sehingga menjadi pandemik.
Susulan daripada itu, China telah mengecam tindakan Senat yang meluluskan rang undang-undang untuk menyokong etnik Uighur dan menyifatkannya sebagai serangan jahat dan campur tangan AS dalam hal ehwal dalam negaranya boleh menjejaskan hubungan dua hala antara mereka.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa lebih daripada satu juta rakyat daripada etnik Uighur telah ditahan di kem-kem di wilayah Xinjiang China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Senat sebelum ini telah meluluskan versi pertama rang undang-undang tersebut pada September tahun lepas dan Dewan Perwakilan juga meluluskan versi yang sedikit berbeza pada Disember.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai kawalan eksport yang ditambahkan dalam perundangan tersebut, serta perbicaraan pemecatan Trump dan isu-isu berbangkit lain telah memperlambatkan kemajuannya.