China tidak terkecuali dalam berdepan gelombang baru Covid-19 sehingga memaksa pihak berkuasa melakukan ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan yang meluas di beberapa kawasan.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, melaporkan peningkatan sebanyak 96 kes pada hari Rabu, yang mana ia merupakan kenaikan hari ketiga berturut-turut di atas angka 90. Dari kes yang baru disahkan, 71 disebarkan secara tempatan.
Walaupun angka ini dilihat kecil berbanding negara-negara lain yang mencatatkan kenaikan lebih besar, namun pihak berkuasa tetap mengambil langkah tegas lebih-lebih lagi di tengah ancaman varian delta yang cepat merebak.
Xinhua News Agency melaporkan pihak berkuasa telah mendesak orang untuk membataskan perjalanan dan mengelakkan perjumpaan, serta menangguhkan beberapa penerbangan, kereta api dan perkhidmatan bas jarak jauh.
Ibu kota Beijing mengenakan kawalan masuk dan keluar yang ketat pada hari Ahad dan dikatakan berada pada ‘tahap kritikal’ kawalan wabak setelah kes meningkat pada akhir bulan Julai untuk pertama kalinya dalam beberapa bulan, lapor Xinhua.
Sementara di bandar Wuhan, di mana coronavirus pertama kali muncul, akan melaksanakan ujian Covid ke atas semua penduduknya, kata agensi berita itu.
Bagaimanapun, para penganalisis bimbang bahawa tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan akan menjejaskan ekonomi, di mana ia satu-satunya negara yang merekodkan pertumbuhan pada tahun lalu.
Sehingga kini, pemulihan yang dipamerkan dalam beberapa sektor dilihat tidak sekata lebih-lebih lagi mereka turut berdepan dengan peningkatan kos yang lebih tinggi. Kebangkitan semula Covid-19 dan sekatan baru, dilihat akan membantutkan pemulihan isi rumah di China, menurut penganalisis.