Covid-19 Tidak Jejas Unjuran KDNK 2020

171

Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tidak diturunkan lagi meskipun terdapatnya peningkatan secara mendadak jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Justeru itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata, unjuran pertumbuhan 2020 kekal antara -5.5 peratus dan -3.5 peratus.

“Gelombang kedua sangat tertumpu dan lebih daripada 60 peratus adalah terkawal. Kami tidak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi, semua aktiviti perniagaan dibenarkan untuk terus berjalan,“ kata beliau dalam temu bual yang dikeudarakan di stesen radio BFM hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa untuk tahun ini, Malaysia beserta 150 negara lain, sedang mengalami kemelesetan.

Tetapi pada 2021, beliau berkata ekonomi kembali meningkat dan pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka pada sekitar 5.5 peratus hingga 8.0 peratus — unjuran yang seiring dengan ramalan KDNK yang lebih kukuh oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tengku Zafrul berkata kerajaan mengumumkan pelbagai pakej rangsangan yang berakhir tahun ini dan terus meninjau pelbagai cara untuk melindungi kehidupan rakyat dan menumpukan perhatian kepada momentum pemulihan dalam Belanjawan 2021 akan datang.

“Sudah tentulah, penting untuk kita membina daya ketahanan bagi memastikan Malaysia boleh menahan kejutan ekonomi masa depan,” tambah beliau.

Menyentuh mengenai pertumbuhan pinjaman bank, ia dijangka pulih tahun depan sejajar dengan pertumbuhan KDNK yang positif, kata menteri kewangan itu.

“Pinjaman bank amat berhubung kait dengan KDNK. Pertumbuhan KDNK merosot pada suku kedua kepada penguncupan 17 peratus, tetapi saya menjangkakan ia akan bangkit semula pada separuh kedua tahun ini, terutamanya dalam suku keempat,” kata beliau.

Tengku Zafrul turut melahirkan harapan agar ekonomi negara akan kembali kepada tahap sebelum kemunculan Covid-19 pada 2021.

“Tahun hadapan akan menjadi tahun peralihan bagi kita. Kita boleh kembali kepada tahap KDNK 2019 pada 2021,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa unjuran itu adalah seiring dengan sasaran industri perbankan untuk pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi tahun depan, dipacu terutamanya oleh segmen utama seperti gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana dan perbankan komersil.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat