Menutup dagangan pada minggu lalu, US dolar berjaya paparkan pemulihan di penghujung minggu setelah alami penyusutan untuk 2 minggu berturut-turut.
Seluruh dunia berdepan kekecohan akibat gangguan siber yang menjejaskan ramai perkhidmatan utama termasuk bank-bank, penerbangan dan penyiaran selain mencetuskan panik dalam pasaran kewangan.
Namun, situasi tersebut berjaya diredakan apabila punca telah dapat dikenal pasti yang disebabkan oleh kemas kini perisian oleh firma cybersecurity iaitu CrowdStrike yang memberi kesan ke atas pelbagai sektor secara global.
Dalam suasana tidak menentu sebegitu, pembelian ke atas US dolar sebagai mata wang safe-haven kembali berlaku dan menyaksikannya stabil pada dagangan penutup minggu lalu.
Sebelum ini, US dolar telah alami penyusutan yang ketara dengan data-data ekonomi terbaru yang menunjukkan bacaan yang berisiko.
Tambahan pula, Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell mula memberi isyarat yang menunjukkan kecenderungan bank pusat untuk bersedia beralih kepada pelonggaran dasar.
Petunjuk-petunjuk terbaru akan terus dinilai dan pada minggu ini, pelabur akan meneliti bacaan awal bagi pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2024 pula.
Dengan pemulihan semula US dolar di penghujung minggu lalu, kebanyakan mata wang utama lain kembali berdepan tekanan semula.
Mata wang Eropah masing-masing paparkan kejatuhan semula selepas berjaya capai paras ketinggian terbaru.
Mata wang Euro kembali terperosok selepas mesyuarat polisi bank pusat Eropah (ECB) sementara Pound susut lebih rendah di penghujung minggu apabila data jualan runcit UK catat penguncupan pada bulan Jun.
Menuju minggu-minggu akhir untuk bulan Julai ini, bacaan data untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan kebiasaannya akan menjadi tumpuan melibatkan ekonomi Jerman, UK dan AS.
Juga, keputusan mesyuarat polisi bank pusat Kanada dinantikan dengan jangkaan kadar faedah bakal diturunkan lagi sebanyak 25 mata asas.