Dana Asing Terus Menerus Ditarik Keluar dari Bursa Malaysia?

980

Dana asing terus jual saham Bursa Malaysia. Laporan Berita Harian.

KUALA LUMPUR: Dana antarabangsa terus mengalir keluar daripada saham senaraian awam di Bursa Malaysia buat minggu kelima berturut-turut, namun pada kadar lebih perlahan.

Penganalisis MIDF Research, Adam M Rahim berkata berdasarkan data daripada Bursa Malaysia, dana aisng menjual bersih RM80.3 juta saham tempatan minggu lalu.

“Ia satu pertiga daripada jumlah yang dijual pada minggu sebelumnya,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan.

Dana asing memulakan minggu lalu dengan menjual bersih RM83.1 juta pada Isnin walaupun terdapat gencatan perang perdagangan antara Beijing dan Washington.

Ia berlawanan dengan trend pasaran serantau lain seperti Korea Selatan dan Taiwan yang menyaksikan aliran masuk dana besar susulan perkembangan terkini perdagangan antarabangsa itu.

Bagaimanapun, pelabur luar luar menjadi pembeli bersih apabila mereka membeli bersih saham bernilai RM76.1 juta dan RM69.9 juta masing-masing pada Selasa dan Rabu, di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah Brent kepada AS$62 setong menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Khamis.

Ia sejajar dengan kenaikan 0.45 peratus ringgit ke paras tertingginya dalam sebulan pada RM4.1465.

Susulan penahanan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, pasaran Asia termasuk Malaysia menjunam dan menyebabkan pelabur kembali berada di luar pasaran.

Berikutan itu, Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih asing RM59.9 juta pada Khamis.

Sentimen pada Jumaat kekal tidak memberangsangkan dengan pelabur asing menjuan bersih RM83.1 juta di Bursa Malaysia apabila mesyuarat OPEC tidak menghasilkan sebarang pemotongan pengeluaran.

Namun, OPEC dan Russia kemudiannya bersetuju untuk mengurangkan minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari.

Perkembangan pada minggu lalu menjadikan aliran keluar bersih dari Malaysia setakat tahun ini berjumlah RM10.74 bilion, atau AS$2.66 bilion.

Walaupun jumlah itu mengimbangi aliran masuk tahun lalu, ia tidak setinggi dua pasaran ASEAN lain yang dipantau MIDF Research, iaitu Thailand dan Indonesia yang menyaksikan aliran keluar lebih besar melebihi AS$3 bilion.

Sumber : Berita Harian

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat