Dari Cukai GST 6% Kepada 0% : Harga Barang Mampu Turun Lebih Dari 6%

1,167

Rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik pengumuman kerajaan terhadap penurunan cukai GST ke paras 0% yang bermula pada 1 Jun hadapan.

Golongan yang pertama sekali mendapat manfaat daripada penurunan GST ke 0% ini adalah pengilang sehingga kepada peniaga runcit. Pihak pengilang akan dapat mengurangkan kos operasi mereka dan menurunkan harga jualan barang kepada para peniaga. Harga rendah sekaligus akan disalurkan sehingga kepada peniaga runcit yang turut dapat mengurangkan kos operasi dan menurunkan harga barang kepada enam peratus atau lebih daripada itu.

Berbeza dengan cukai SST, cukai GST dikenakan oleh kerajaan di setiap tahap rantaian penawaran daripada pengeluar sehinggalah kepada pengguna. Sebagai contoh, pengilang yang memproses barang membeli input dengan cukai 6%, seterusnya barangan siap itu dibekalkan pula kepada pembekal juga dengan cukai 6%. Selepas itu, pembekal pula mengenakan cukai 6% kepada peniaga dan seterusnya peniaga mengenakan cukai 6% kepada pengguna atau rakyat seperti kita.

Kementerian Kewangan sebelum ini telah memaklumkan akan melaksanakan program pembaharuan fiskal dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula. Namun, kerajaan belum lagi menyatakan tentang tarikh cukai SST akan digunapakai.

Memetik dari Berita Harian, Pakar Percukaian, Prof Dr. Barjoyai Bardai berkata langkah mengekalkan GST pada kadar sifar peratus juga baik kerana sebelum ini, mereka peniaga terpaksa melabur untuk melaksanakan sistem cukai yang baru iaitu GST.

“GST sifar peratus adalah untuk bantu pengguna. Kerajaan bermatlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memikirkan kesejahteraan rakyat lebih penting daripada tambahan hasil negara.”

Ramai juga dari kalangan rakyat dan pemerhati pasaran bimbang dengan jumlah pendapatan negara yang mungkin merosot jika cukai GST dikurangkan ke paras terendah sifar peratus.

Dr. Barjoyai juga mengulas tentang perkara ini di mana peningkatan harga minyak mentah dunia yang tinggi sehingga ke paras lebih daripada $70 setong. Ini adalah paras harga yang lebih tinggi berbanding unjuran sebelum ini bahawa harga minyak hanya naik ke paras $52 setong. Barjoyai berkata, peningkatan harga minyak sebanyak satu dollar AS sahaja telah menyumbang kepada tambahan RM3 billion kepada pendapatan negara.

Barjoyai juga tidak menolak penurunan cukai GST ke paras sifar peratus, bolah menyebabkan penurunan harga barangan lebih daripada 6%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat