- USD kuat pada awal minggu
- Tumpuan beralih pada data inflasi AS
- Data inflasi bakal jadi penentu jangkaan kadar faedah seterusnya
Raja mata wang US dolar meraih sokongan untuk meningkat pada permulaan dagangan awal minggu ketika pelabur kini memberi tumpuan kepada data inflasi Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Selasa.
Penting untuk pelabur ambil tahu tentang inflasi kerana ia akan menentukan hala tuju dalam penetapan dasar monetari polisi Federal Reserve (Fed) yang selanjutnya.
Harga pengguna AS diramalkan terus menunjukkan penurunan tetapi pada kadar lebih perlahan daripada 6.5% kepada 6.2% tahun ke tahun pada bulan Januari.
Terdahulu, Pengerusi Fed Jerome Powell telah memberitahu bahawa tekanan inflasi di negara itu mula menurun (disinflasi) dan ini memberi peluang untuk bank pusat melaksanakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Februari.
Pun begitu, laporan pekerjaan AS yang kuat dalam non-farm payroll (NFP) telah menggugat keyakinan pelabur untuk Fed menamatkan pengetatannya.
Malah, Powell juga mengatakan bahawa jika data pekerjaannya kukuh dan inflasi kekal tinggi secara berterusan, beliau menjangkakan kadar faedah akan meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.
Faktor ini adalah antara pendorong yang membantu US dolar untuk bangkit dari paras terendahnya susulan mesyuarat polisi 2 minggu lalu, dan kini data inflasi pula jadi tumpuan pelabur untuk jangkaan seterusnya.
Pada waktu penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback diniagakan 0.2% lebih tinggi pada 103.81 berbanding kebanyakan mata wang utama.
Turut menjadi tumpuan pelabur minggu ini adalah data inflasi UK yang dikeluarkan pada hari Rabu, menyaksikan mata wang pound diniagakan menyusut pada sesi Asia.
Yen pula memadamkan semua keuntungan yang diraih pada Jumaat dengan pelabur terus mengikuti perkembangan mengenai calon yang bakal dilantik sebagai gabenor Bank of Japan (BOJ) akan datang.