Data Jualan Runcit AS Kekalkan Prestasi Positif USD Di Awal Minggu

135

Walaupun tidaklah begitu memberangsangkan, namun US dolar berjaya memulakan dagangan awal minggu ini dengan prestasi positif kesan reaksi pasaran terhadap data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.

Menerusi laporan, kadar jualan runcit pada Mac meningkat kepada 0.7% lebih tinggi berbanding ramalan 0.4% manakala bacaan bulan sebelumnya juga turut dikemas kini meningkat kepada 0.9%.

Bacaan data yang positif ini dilihat mengiringi laporan inflasi dan pekerjaan yang telah diterbitkan sebelum ini, sekaligus semakin menyokong jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) ditangguhkan.

Penganalisis melihat data-data yang baik diterbitkan menunjukkan perkembangan ekonomi AS yang kukuh pada suku pertama 2024 ini ketika dasar monetari ketat terus dikekalkan oleh Fed.

US dolar didagangkan meningkat pada sesi New York semalam dan kekal berlegar di paras tertinggi sejak dagangan November tahun lalu.

Dengan situasi ini, mata wang utama lain dalam pasaran bakal ditekan jatuh dengan Yen berada di paras terendah sejak tahun 1990.

Tumpuan pasaran hari ini akan terarah pada terbitan data ekonomi China di sesi Asia, laporan pekerjaan UK di sesi Eropah dan seterusnya data inflasi Kanada di sesi pasaran Amerika.

Sementara itu, ketegangan geopolitik masih kekal menjadi topik tumpuan utama dalam pasaran pada waktu ini yang boleh mempengaruhi pasaran secara keseluruhan.

Dalam situasi berjaga-jaga, Israel dijangka berkemungkinan akan bertindak balas terhadap serangan Iran yang dilancarkan pada hujung minggu lalu dan ini akan terus meningkatkan ketegangan yang berterusan.

Pelabur dijangka akan beralih ke arah aset-aset pelaburan lebih selamat yang akan memberi kelebihan kepada pasaran emas dan juga permintaan terhadap US dolar sebagai safe-haven.

Harga emas susut ke paras sekitar $2,325 semalam sebelum melonjak naik semula ke paras ketinggian $2,390 setakat dagangan di awal pagi ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat