Data Pekerjaan UK Lemah Tekan GBP/USD Ke Paras Lebih Rendah

438

Pergerakan harga pada carta pasangan matawang GBP/USD menunjukkan harga menyambung penurunan ekoran Pound Sterling yang didagangkan lemah.

Tekanan terhadap matawang British itu didorong oleh laporan berkenaan Perdana Menteri UK Boris Johnson yang akan mengubah undang-undang supaya tempoh peralihan Brexit tidak akan dilanjutkan seterusnya menimbulkan kebimbangan terhadap hubungan perdagangan EU-UK.

PM Johnson tekad untuk mengundurkan Britain dari EU selewatnya penghujung 2020 namun pemimpin EU memberi amaran bahawa berkemungkinan kriteria perjanjian untuk kepentingan kedua pihak sukar dicapai.

Dagangan GBP/USD menunjukkan penurunan seawal sesi Asia bermula menyambung penurunan harga pada dagangan Isnin.

Harga kemudian menunjukkan kenaikan yang perlahan pada sesi Asia menyentuh paras 1.33000 yang dilihat sebagai zon SBR (support become resistance).

Kemudian harga dilihat kembali membuat penurunan semula dan penurunan lebih ketara dipamerkan ketika memasuki sesi pasaran Eropah hari ini.

Kebimbangan terhadap laporan pekerjaan UK turut menekan harga sehingga ke paras 1.31800, paras yang menjadi tumpuan harga pada dagangan minggu lalu.

Meneliti komponen data pekerjaan UK yang diterbitkan, indeks purata pendapatan 3 bulan mencatatkan penurunan lebih rendah berbanding jangkaan. Tuntutan bagi tidak bekerja juga catat bacaan lebih tinggi berbanding jangkaan penurunan.

Kadar pengangguran di UK masih kekal di paras 3.8% berbanding jangkaan meningkat kepada 3.9%. Paras tersebut adalah terendah untuk 45 tahun.

Penurunan lebih rendah harga dijangka akan kembali menuju paras tumpuan pada 1.30000 sebelum menuju zon-zon support harga sehingga ke paras 1.28200 yang menjadi support bagi dagangan November.

Sebaliknya jika harga kembali membuat kenaikan, pasaran bakal menjangkakan kenaikan mudah harga selepas kemenangan Parti Konservatif minggu lalu.

Kenaikan harga bakal menguji semula paras ketinggian yang dicapai pada 1.35300 Jumaat lalu.

Pelabur akan menantikan isyarat lebih jelas berhubung isu Brexit dan tindakan yang akan diambil oleh Perdana Menteri UK, Boris Johnson selepas mengekalkan jawatan beliau sebagai pemimpin.

Lihat gambar carta pasangan matawang GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat