DAWN RAID – ‘Serangan Subuh’ Rampas Semula Hak Milik Negara (PART II)

1,210

Sambungan Part I

Strategi Awal Rampasan Guthrie

Pelan awal pengambil alihan bermula dengan kesepakatan Tun Dr Mahathir dan Tun Ismail Ali yang merancang untuk merampas Guthrie secara senyap-senyap melalui pembelian saham daripada syarikat-syarikat besar.

Watak penting seterusnya muncul. Tan Sri Khalid, individu ketiga yang terlibat dalam rancangan ini telah ditugaskan untuk mengkaji dan mengatur strategi bagi memastikan serangan berjalan lancar.

Beliau merupakan seorang pengurus pelaburan di sebuah agensi kerajaan Malaysia dan pernah bekerja di Barings, London iaitu salah sebuah syarikat penasihat kewangan Guthrie.

Hasil daripada kajian yang dilakukan, Tan Sri Khalid mendapati bahawa kerajaan Malaysia memerlukan RM1 bilion untuk menjayakan operasi ini yang perlu dijalankan dengan pantas.

Ekoran itu, kerajaan Malaysia bersetuju meluluskan modal sebanyak RM1 bilion dengan meraih dana daripada Petronas, Pernas dan Amanah Saham Malaysia (ASN).

Pada masa yang sama di England, Rothschild dan Rowe & Pitman turut bekerjasama mengusahakan operasi ini, di mana Rothschild perlu memujuk syarikat M&G Investment untuk menjual 17% saham Guthrie yang dimiliki mereka.

Sementara syarikat broker saham, Rowe & Pitman pula ditugaskan untuk mendapatkan saham Guthrie daripada pelabur-pelabur kecil.

Dengan mempunyai 25% saham sedia ada melalui Pemodalan Nasional Berhad (PNB), kerajaan hanya perlu menambah lagi 15% bagi menjadi pemegang saham utama di Guthrie.

Oleh kerana hubungan baik antara pemegang saham Guthrie dengan para pegawai di agensi kerajaan yang berkomplot dengan misi ini, ia menjadi ‘sasaran utama’ berbanding syarikat-syarikat British yang lain.

Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN), Kuwait Investment Group (KIG) dan bank OCBC adalah antara syarikat-syarikat yang memiliki saham di Guthrie.

Misi ini hanya boleh dibuat melalui pembelian saham di Malaysia dan luar negara secara sekali gus sebelum London Stock Exchange (LSE) dibuka, dan ia perlu dilakukan secara pantas bagi mengelakkan pihak pengurusan Guthrie menyedarinya.

Hari Serangan Berlaku

7 September 1981, fajar menyingsing, serangan bermula!

Awal pagi tersebut, Malaysia mula mengorak langkah dengan semua rancangan yang telah disusun rapi.

Segala pembelian saham adalah dirahsiakan kerana sekiranya dihebohkan terlalu awal, ia akan mencetuskan lonjakan harga saham dan memberi peluang kepada pengurusan Guthrie untuk bertindak balas.

Di Malaysia, Tan Sri Khalid perlu memujuk Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga KIG, manakala Tun Ismail pula ke Singapura untuk bertemu Pengerusi OCBC bagi meyakinkannya menjual saham Guthrie.

Namun masalah timbul apabila usaha Tun Ismail tersebut menemui kegagalan selepas tawaran beliau ditolak. Tun Ismail kemudiannya menghubungi Tan Sri Khalid untuk menyampaikan khabar buruk itu.

Sungguhpun begitu, rancangan tidak boleh dihentikan. Mereka perlu meneruskan misi tersebut memandangkan Tan Sri Khalid telah berhasil memperoleh saham daripada Genting, BSN, dan KIG.

Khabar baik pula diterima dari kota London, di mana Rothschild berjaya meyakinkan M&G Investment untuk menjual sebanyak 11% daripada 17% pegangannya kepada Malaysia.

Sementara itu, broker-broker di bawah Rowe & Pittman pula berhasil mendapatkan 5% saham daripada pelabur-pelabur kecil Britain.

Tepat jam 4 petang waktu Malaysia dan 9 pagi waktu London, serangan mengejut secara serentak dilancarkan sebaik sahaja kaunter LSE dibuka.

Akhirnya, dalam masa 4 jam sahaja kerajaan Malaysia berjaya membeli 8 juta unit saham Guthrie, menjadikan pemilikan kepentingan melalui PNB meningkat kepada 50.41%.

Kesan Dawn Raid Kepada British Dan Malaysia

Peristiwa ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dari seluruh dunia dan pastinya memberi tamparan hebat buat British kerana ‘tertewas’ dengan negara yang pernah menjadi bekas jajahan mereka.

Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher hanya mengetahui tentang kejadian tersebut setelah beberapa hari berlalu, manakala Pengerusi Guthrie, Mark Gent dikejutkan dengan berita pemilikan itu melalui radio.

Rentetan itu, kerajaan British bertindak pantas dengan mengetatkan lagi undang-undang bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’.

Walau bagaimanapun serangan ini mendapat pujian broker-broker di London atas kelicikan Malaysia, manakala media British pula mengkritik serangan ini sebagai ‘Backdoor Nationalization’.

Setelah 3 bulan serangan itu terjadi, kebanyakan saham Guthrie sedikit demi sedikit menjadi milik Malaysia dan pada penghujung tahun 1981, ia secara rasmi jatuh ke tangan negara.

Ekoran daripada peristiwa Dawn Raid, ia telah banyak memberi impak besar secara jangka panjang kepada Malaysia.

Hasilnya, ia telah mencetuskan kesedaran buat syarikat-syarikat British untuk mula berunding dengan Malaysia berdasarkan terma-terma baharu.

Selain Guthrie, 3 buah syarikat perladangan British yang beroperasi di Malaysia seperti Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) juga dijual kepada kerajaan.

Malah, pertemuan Tun Dr Mahathir dan Margaret Thatcher di London pada 1983 telah membawa kepada beberapa resolusi baharu, di mana salah satu daripadanya adalah kerajaan British bersetuju untuk menawarkan subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di negara itu.

Siapa sangka, Malaysia mempunyai sejarah ‘hebat’ ini hasil gandingan 3 individu utama yang memperjuangkan hak dan maruah negara daripada terus dipijak-pijak ‘penjajah’.

Tun Dr Mahathir, Tun Ismail Ali dan Tan Sri Khalid, nama-nama yang akan sentiasa tersemat dalam sejarah Malaysia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat