US dolar melonjak kukuh pada dagangan Rabu semalam sejak dari awal sesi Asia bermula ketika pasaran menyaksikan perlumbaan kiraan undian pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) ketika Donald Trump mendahului.
Namun pada sesi New York, momentum pergerakan US dolar mula mengendur namun dilihat tetap mengekalkan kedudukannya setelah memberi tekanan ke atas mata wang utama lain.
Berakhir acara pilihan raya 2024 itu, Donald Trump telah menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris yang menggantikan tempat buat Joe Biden.
Maka, Donald Trump akan kembali mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Presiden AS yang ke-47.
Joe Biden dilaporkan turut menghubungi Trump untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan beliau dan merancang untuk bertemu dalam masa terdekat di White House untuk kelancaran peralihan pentadbiran.
Pasaran akan terus menghadam situasi selepas pilihan raya berakhir ini dengan pelbagai pandangan dan analisis akan dilontarkan dari semasa ke semasa.
Pelabur selepas ini akan mengalihkan pula tumpuan terbarunya terhadap mesyuarat FOMC edisi November.
Keputusan penetapan kadar faedah akan diumumkan pada awal pagi Jumaat nanti, jam 3 pagi waktu tempatan.
Federal Reserve (Fed) dijangka akan meneruskan pelonggaran dasar monetari mereka namun pada jangkaan pemotongan kadar faedah lebih kecil sebanyak 25 mata asas.
Sementara itu, tumpuan akan terlebih dahulu diberikan kepada keputusan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) awal sesi New York malam ini.
BOE dijangka turut akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.75% dengan undian ahli MPC akan diperhatikan.