Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan pakej rangsangan baru dengan melancarkan pembelian bon baru bernilai 750 bilion euro dalam satu mesyuarat kecemasan yang diadakan pada Rabu, dalam usaha untuk meredakan pasaran dan melindungi ekonomi daripada wabak koronavirus.
Melalui Program Pembelian Darurat Pandemik (PEPP) ini, ia akan membeli bon kerajaan dan swasta di seluruh zon Eropah, termasuk Greece dan Itali.
Skim pembelian ini dikatakan adalah untuk sementara dan akan dijalankan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun 2020.
Selain itu, program ini akan meliputi semua aset yang layak di bawah program pelonggaran kuantitatif (QE) semasa dan ECB akan mempertimbangkan untuk menaikkan hadnya ke atas pegangan QE, serta bersedia untuk meningkatkan saiz program pembelian asetnya.
Perintah berkurung di beberapa negara di Eropah telah menyebabkan aktiviti ekonomi turut terganggu, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa rantau itu kini diancam kemelesetan.
Presiden ECB Christine Lagarde secara tidak sengaja memburukkan lagi keadaan pada minggu lalu susulan kenyataannya mengenai bank pusat adalah bukan sepenuhnya bertanggungjawab untuk menangani krisis wabak ini.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaru beliau, Lagarde menyatakan bahawa bank pusat akan melakukan segalanya yang termampu untuk menyokong euro dalam berdepan dengan situasi yang ‘luar biasa’ ini.