Eddy Zillan : Remaja 18 Tahun Bergelar “The Wolf Of Crypto Street”

1,622

Eddy Zillan, seorang remaja dari Ohio, Amerika Syarikat mula melibatkan diri dalam pelaburan matawang kripto sejak 3 tahun lalu iaitu ketika berusia 15 tahun.

Usianya yang terlalu muda tidak menghalangnya untuk membuka satu akaun di platform trading, Coinbase yang mengenakan syarat bahawa penggunanya perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Namun, dengan kesungguhan dan keinginan yang kuat, Zillan telah mengabaikan syarat tersebut serta membuka satu lagi akaun di platform trading, Kraken. Beliau telah membeli matawang kripto, ether yang bernilai $100 dolar.

Hakikatnya, Zillan pada awalnya ragu-ragu untuk meletakkan wangnya dalam pasaran matawang kripto kerana mengetahui tentang laman web black market iaitu Silk Road.

Akan tetapi Zillan tidak berputus asa, beliau mula melabur apabila memperoleh maklumat daripada sumber yang dipercayai tentang bagaimana untuk melabur dalam matawang kripto. Ketika menjalankan pelaburan tersebut, tiada sebarang sumber yang dapat dipelajari olehnya seperti youtubers, pelabur-pelabur, buku mahupun mentor yang dapat dijadikan contoh.

Mula membuahkan hasil, beliau telah berjaya memperoleh keuntungan sebanyak $10 dolar melalui pelaburan pertamanya dengan $100 dolar. Meskipun ianya bukanlah jumlah yang besar, tetapi telah menjadi pemangkin semangat buat Zillan.

Oleh yang demikian, beliau semakin bersemangat untuk mengembangkan modalnya sehingga membuat keputusan menghabiskan kesemua wang simpanannya sebanyak $12,000 dolar yang diterima melalui kelas pengajaran tenis, hadiah, dan bar mitzvah. Berani sungguh!

Pada peringkat awal, ibu bapa Zillan agak bimbang akan minatnya terhadap matawang digital. Zillan telah diberi amaran oleh bapanya kerana pelaburannya yang dijalankan sangat berisiko.

Tanpa mengenal erti putus asa, Zillan berjaya membuktikan bahawa usahanya tidak sia-sia. Selama beberapa bulan, beliau telah memperoleh pulangan berganda. Sehubungan dengan itu, beliau semakin obses dalam pelaburan matawang kripto sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk membaca, menonton forum tentang matawang kripto dan berbual dengan pelabur lain secara atas talian.

Selain itu, beliau juga mula menceburkan diri dalam matawang kripto alternatif yang dikenali sebagai altcoin.

Dalam masa yang singkat, portfolio matawang kripto yang dimiliki oleh Zillan telah mencecah $350,000. Hebat, bukan?

Zillan meneruskan pembelajarannya tentang matawang kripto melalui sumber atas talian. Beliau berpendapat bahawa pasaran matawang kripto dipengaruhi oleh jangkaan para pelabur dan penciptanya. Selain itu, beliau menyatakan bahawa pelaburan berkenaan memerlukan banyak kemahiran bukanlah hanya dengan membuka akaun di Coinbase.

Kini, beliau sudah menginjak ke usia 18 tahun dan telah mempunyai portfolio yang bernilai lebih daripada $1 juta dolar. Wow, kaya!

Seterusnya, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat, Cryptocurrency Financial yang menawarkan khidmat nasihat dalam pelaburan matawang kripto. Beliau turut melancarkan satu aplikasi kemudahan pengguna, Coinalert.ly yang direka hasil penggabungan pelbagai sumber merangkumi tips pelaburan, panduan, penerangan dan berita.

Zillan mengenakan caj sebanyak $250 dolar per jam untuk servis persendirian dalam pelaburan matawang kripto dan menjelaskan bahawa tujuannya bukanlah untuk mendapatkan wang tetapi, meluaskan lagi komuniti matawang kripto. Dahsyat! Inilah yang dinamakan kecil-kecil padi, tapi hangat berapi!

Beliau yang menjadikan Jordan Belfort sebagai inspirasinya telah menggelarkan dirinya sebagai ‘The Wolf Of Crypto Street’.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat