Ekonomi Australia Lebih Baik Dari Dijangkakan, Kadar Faedah Negatif Tidak Mungkin Terjadi?

298

Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Philip Lowe memberitahu bahawa kemerosotan ekonomi Australia yang disebabkan pandemik coronavirus mungkin tidak teruk seperti yang disangkakan.

Dolar Aussie mengukuh berbanding US dolar berikutan kenyataan Lowe yang turut memberi indikasi bahawa kadar faedah negatif atau langkah pelonggaran kuantitatif (QE) tambahan mungkin tidak diperlukan.

Walau bagaimanapun, ketegangan AS dan China yang semakin meruncing telah mengehadkan pergerakan dolar Aussie untuk menyambut baik kenyataan Gabenor Lowe.

Lowe yang berucap di hadapan Jawatankuasa Pilihan Senat mengenai COVID-19 pada pagi ini, turut mengatakan pakej rangsangan yang dilancarkan pada Mac lalu berfungsi dengan baik dan membantu kepada pemulihan ekonomi negara itu.

Australia yang mencatatkan jumlah kematian COVID-19 jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara maju lain, telah mula menjalankan kehidupan normal setelah perlaksanaan perintah berkurung dilonggarkan secara berperingkat awal bulan ini.

Bagaimanapun, menurut Lowe, prospek terhadap ekonomi masih tidak menentu dengan inflasi dijangkakan menyusut lebih rendah dan kadar pengangguran pula tinggi sehingga tahun 2021. Ini menandakan kadar faedah semasa akan kekal di tahap terendah pada 0.25% untuk jangka masa yang lama.

Awal bulan ini, RBA meramalkan ekonomi Australia akan menguncup sebanyak 6% pada tahun ini dan pengangguran dijangka meningkat sehingga mencecah 9%, sementara inflasi teras turun di bawah sasaran jangka sederhana 2-3% hingga pertengahan tahun 2022.

Namun begitu, sejak unjuran tersebut dikeluarkan, dapat dilihat bahawa pertumbuhan yang direkodkan adalah lebih baik daripada dijangkakan, kata Gabenor Lowe tanpa memberikan anggaran terkini yang dikemas kini.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa supaya subsidi gaji di bawah program JobKeeper dilanjutkan untuk terus menyokong pemulihan. Terdapat kebimbangan berterusan bahawa rancangan kerajaan untuk menamatkan program JobKeeper dan JobSeeker pada akhir September, akan melemahkan ekonomi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat