Ekonomi Eropah Cetuskan Kegelisahan Terhadap Pasaran Dunia

278

Awal pembukaan sesi dagangan Eropah untuk hari terakhir dagangan minggu ini menyaksikan dagangan dolar Euro terus mengalami kejatuhan nilai berikutan data ekonomi zon Eropah yang kurang memberangsangkan.

Bacaan data jualan runcit di Jerman merekodkan penurunan jauh lebih rendah berbanding jangkaan pasaran. Kadar jualan runcit untuk Julai turun kepada -2.2% berbanding jangkaan penurunan -1.0% oleh pasaran dan jauh lebih rendah berbanding bacaan kenaikan pada 3.0% pada Jun lalu.

Data yang mengukur perubahan kadar jualan dalam sektor peruncitan ini menunjukkan prestasi jualan yang lemah untuk ekonomi Jerman sebagai ekonomi terbesar di zon Eropah.

Kelihatan dagangan dolar Euro berbanding dolar AS pada carta harga EUR/USD, meneruskan penurunan untuk hari kelima berturut-turut menuju ke sekitar paras terendah dagangan bulanan.

Sementara dagangan Pound Sterling Britain kekal dibelenggu ketidaktentuan isu Brexit selepas Perdana Menteri UK Johnson mengusulkan penangguhan parlimen sehingga lima minggu dan membantutkan rancangan pihak pembangkang untuk merencanakan pelan menghalang Brexit tanpa perjanjian (no-deal).

Melihat dari sudut ekonomi pula, petunjuk sentimen ekonomi (ESI) oleh Suruhanjaya Eropah, yang mengukur kesihatan ekonomi Britain telah menunjukkan ekonomi sedang merosot ke paras terlemah sejak 7 tahun lalu ekoran terkesan oleh krisis Brexit.

Bacaan menunjukkan penurunan 92.5 mata daripada 94.3 pada Julai, iaitu paras terendah direkodkan sejak September 2012.

Secara keseluruhan, ESI memberi isyarat bahawa ekonomi Britain bakal bergelut untuk kembali stabil semula daripada fasa penguncupan pada suku kedua, setelah penguncupan pertama kali dahulu berlaku pada tahun 2012.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat