Elon Musk tanpa disangka menimbulkan spekulasi akan membuat pelaburan dalam Bitcoin menerusi kicauan Twitter, “Bitcoin lebih selamat untuk saya” semalam.
Pengasas Tesla itu sebelum ini menolak raja matawang kripto sebagai aset paling selamat di dunia walaupun pada masa yang sama tertarik dengan struktur Bitcoin yang unik.
Kicauan itu menarik perhatian CEO Microstrategy, Michael Saylor untuk membalas: “Tukarkan aset Tesla daripada USD kepada BTC. Firma lain dari S&P 500 akan turut mengikut dan masa akan menjadikan nilainya kepada $1 trilion.”
Bagaimanapun, Musk tidak memberi balas selepas penjelasan Saylor. Sebaliknya, Musk memuatnaik kicauan baru: “Satu kata: Doge”.
Ekoran daripada kicauan tersebut, Dogecoin (DOGE) melonjak 20% dalam 24 jam walaupun berlaku pembetulan Bitcoin, Ethereum dan matawang kripto yang lain selepas lonjakan mendadak.
DOGE diinspirasikan dari meme Internet “doge” dan Shiba Inu sebagai logonya, merupakan altcoin yang dibangunkan oleh Billy Markus dari Portland dan Jackson Palmer dari Sydney bersandarkan teknologi yang sama di sebalik Litecoin (LTC).
Ini bukan kali pertama pengasas SpaceX menyebut matawang itu di dalam kicauannya. Pada April 2019, figura itu ada mendedahkan Dogecoin sebagai matawang kripto kegemarannya, membawa altcoin itu melonjak sekitar 27% dalam tempoh dagangan 24 jam, mencecah nilai sekitar $381 juta.
Figura itu turut mendakwa dirinya sebagai ‘CEO Dogecoin’ sebelum menukarkan kepada ‘bekas CEO Dogecoin’ di profil Twitternya.